BERITA SEMASALUAR NEGARA

China perkenal trak tanpa pemandu, tanda era baharu industri perlombongan

BEIJING – China memperkukuh kedudukannya sebagai kuasa teknologi global melalui pelancaran armada trak perlombongan elektrik tanpa pemandu terbesar dunia oleh Huaneng Group di Inner Mongolia, sebagai langkah strategik dalam transformasi sektor perlombongan negara.

Menurut South China Morning Post (SCMP), armada dikenali sebagai Huaneng Ruichi terdiri daripada 100 buah trak autonomi yang dilengkapi sistem pemanduan kendiri berteknologi tinggi, hasil kerjasama dengan Huawei Technologies.

Pengerusi Huaneng Mengdong, Li Shuxue berkata, penggunaan trak autonomi bukan sahaja mengurangkan kos operasi dan kebergantungan kepada tenaga kerja, malah dijangka meningkatkan kecekapan pengangkutan sehingga 20 peratus berbanding kenderaan konvensional.

“Kenderaan tersebut menggunakan pelbagai teknologi canggih termasuk komunikasi 5G-Advanced (5G-A), kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, sistem pertukaran bateri pintar dan pemetaan berketepatan tinggi.

“Ia direka untuk melaksanakan operasi perlombongan secara automatik seperti pemuatan, pemunggahan dan pengangkutan bahan, termasuk dalam keadaan cuaca ekstrem.

“Gabungan teknologi itu memberi nilai tambah yang besar, terutamanya dari aspek keselamatan, kelestarian tenaga dan kecekapan logistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Xuzhou Construction Machinery Group dan Universiti Sains dan Teknologi Beijing, yang berperanan dalam memperkukuh penyelidikan serta pembangunan teknologi autonomi bagi mempercepatkan penerapannya dalam sektor perlombongan tradisional.

“Pelancaran itu sebahagian daripada usaha China membangunkan ekosistem teknologi menyeluruh selaras dengan pelan industri AI bernilai lebih AS$70 billion (RM 296.6 bilion) melibatkan lebih 4,300 syarikat.

“Apa yang membezakan kami ialah keupayaan bukan sekadar membangunkan teknologi, tetapi melaksanakannya secara besar-besaran dan berkesan,” ujarnya.

Model pelaksanaan skala besar itu mencerminkan pendekatan komprehensif kerajaan China dalam menyepadukan inovasi ke dalam struktur industri nasional, berdasarkan prinsip automasi, digitalisasi dan daya saing jangka panjang.

“Transformasi itu bukan sekadar menggantikan manusia dengan mesin, tetapi merombak sepenuhnya cara industri beroperasi lebih pintar, lebih cekap dan lebih mampan,” tambahnya.

Dengan pelancaran Huaneng Ruichi, China menegaskan peranannya sebagai peneraju global dalam pengoperasian trak autonomi, serta memperlihatkan keupayaannya dalam menyepadukan teknologi masa hadapan ke dalam sektor asas negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button