JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita warga asing ditahan, syabu 2.13 gram dirampas di Kajang

KAJANG – Seorang wanita warga asing ditahan bersama tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki syabu (methamphetamine) seberat 2.13 gram dalam sebuah kenderaan di Jalan Reko, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, wanita terbabit ditahan selepas kereta Honda City berwarna putih yang dinaikinya bersama seorang lelaki warga asing melarikan diri ketika dihampiri polis pada pukul 6.15 petang semalam.

Menurut beliau, anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sebelum itu mengarahkan kenderaan terbabit berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemandu lelaki berkenaan enggan mematuhi arahan dan terus memecut menuju ke arah Semenyih.

“Kenderaan itu kemudiannya memasuki Lebuhraya SILK (Kajang Dispersal Link Expressway) menghala ke Jalan Reko dan dipercayai dipandu secara berbahaya sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan awam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Naazron berkata, polis berjaya memintas kenderaan terbabit berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Reko.

Bagaimanapun katanya, pemandu lelaki itu berjaya melarikan diri, manakala wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan berjaya ditahan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan tiga paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki syabu seberat 2.13 gram.

“Wanita terbabit juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan, manakala polis kini giat mengesan pemandu yang melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan berkaitan kemalangan jalan raya turut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis juga menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilikan dadah yang dirampas,” katanya.

Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Norhafdzeli Ismail di talian 010-373 5508, IPD Kajang di 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button