BERITA SEMASA

Dakwa hantaran dimanipulasi, ADUN Manjoi mohon maaf rujuk wanita Cina dalam insiden babitkan Sultan Perak

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri memohon maaf atas kekhilafan merujuk seorang wanita kaum Cina dalam insiden serangan terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menerusi satu hantaran dalam laman Facebooknya semalam.

Hafez mendakwa, sebaran yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjwab terhadap hantaran tersebut juga telah dimanipulasi.

“Ini kerana, pada waktu kejadian, saya telah mendapat makluman awal ianya dibuat oleh seorang perempuan Cina.

“Sebagai rakyat yang sayangkan Tuanku Sultan negerinya perasaan bimbang dan takut akan keselamatan Tuanku Sultan hadir dalam perasaan saya, jadi ketika itu saya telah membuat posting secepat mungkin kerana ianya melibatkan satu “breach of security” kawalan keselamatan kepada Sultan Perak.

“Namun selepas beberapa minit sahaja saya membuat posting, saya mendapati sumber awal saya dapat adalah tidak tepat dan saya telah membuat pembetulan pada posting asal saya secepat mungkin tidak lebih beberapa minit dari posting awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun begitu katanya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuat tangkap layar dengan pantas ketika hantaran awal dibuat dan terus menyebarkan hantaran yang tidak tepat itu.

Pada masa sama katanya, pihak terbabit juga memainkan naratif isu seolah-olah beliau memainkan isu perkauman.

“Saya tidak menimbulkan isu bangsa atau etnik dalam mempersoalkan bagaimana insiden tersebut boleh berlaku, sebaliknya saya menekankan isu keselamatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak yang perlu diperketatkan.

“Saya sedar bahawa tindakan melanggar kawalan keselamatan tidak boleh dipertahankan tanpa melihat kepada warna kulit siapa yang melakukannya.

“Namun niat tidak baik pihak yang tidak bertanggungjawab ini jelas dan terserlah apabila mereka memilih untuk menyebarkan posting saya yang awal tersebut sedangkan mereka boleh melihat dengan jelas pembetulan beberapa minit selepas itu di status Facebook saya,” katanya.

Hafez berkata, tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan hantaran awalnya itu seperti cuba memainkan sentimen memecah belahkan perpaduan kaum di Malaysia dengan cuba membina naratif dan sangkaan jahat terhadapnya.

“Lapang dada saya kerana dapat memberi pencerahan kepada seluruh rakyat tentang apa sebenarnya yang berlaku dan saya percaya warga masyarakat yang dikasihi boleh menilai dan melihat penjelasan saya dengan hati yang terbuka.

“Saya juga memohon maaf atas kekhilafan saya dalam isu ini, sebagai manusia saya juga tidak terlepas daripada kekhilafan.

“Satu laporan polis juga telah dibuat oleh saya diatas sebaran tangkap layar posting Facebook saya yang dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button