Rasuah, penyalahgunaan kuasa, pengkhianatan ancaman besar terhadap integriti negara – Sultan Perak
IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan dari dalam merupakan ancaman yang lebih besar terhadap integriti negara berbanding musuh dari luar.
Dengan mengambil iktibar daripada sejarah, baginda menyamakan sikap semakin berlembut terhadap rasuah dan salah guna kuasa di negara ini dengan Tembok Besar China, satu benteng hebat yang akhirnya lemah bukan kerana kekuatan musuh luar, tetapi kelemahan dari dalam.
“Tembok itu tidak pernah dipecahkan. Tidak pernah dipanjat. Sebaliknya pintunya dibuka dari dalam. Musuh tidak mengalahkan tembok; mereka menundukkan kehendak para penjaganya. Yang gagal bukan batu, tetapi semangat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Integriti Nasional 2025 bertemakan “Integriti Tonggak Kemakmuran Negara” di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Baginda turut bertitah, Malaysia kini berdepan bentuk ancaman yang sama iaitu hakisan integriti secara beransur-ansur yang merosakkan asas tadbir urus dan kepercayaan rakyat.
“Hampir setiap hari, berita melaporkan tangkapan, siasatan, pendakwaan dan perbicaraan melibatkan rasuah, pecah amanah, ketirisan sumber awam, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.
“Laporan mendedahkan kewujudan pelbagai kartel menguasai sektor penting seperti ayam, ikan, beras dan barangan serta perkhidmatan keperluan asas, serta kemasukan pekerja asing dan pendatang tanpa izin secara bebas.
“Terdapat juga aktiviti pembukaan tanah haram berskala besar, kilang tidak ber lesen, pusat perjudian dan hiburan, spa, rumah urut dan rumah pelacuran beroperasi secara terbuka; pencemaran alam sekitar yang mengancam mata pencarian; dan projek awam terbengkalai.
“Ada kontraktor gagal menyiapkan projek mengikut jadual; bangunan runtuh, peralatan rosak, dan perolehan dibuat pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa sejarah negara memberikan peringatan terhadap akibat kehilangan integriti.
“Kejatuhan Melaka kepada Portugis pada 1511 bukan semata-mata kerana serangan luar; ia juga dibantu oleh pengkhianatan dari dalam.
“Catatan dalam Sejarah Melayu dan Suma Oriental oleh Tomé Pires menunjukkan pentadbiran lemah, perebutan kuasa dalaman dan pengkhianatan dalam kalangan pemimpin tertentu membuka pintu kepada penjajahan asing,” titah baginda lagi.
Baginda turut menzahirkan rasa kesal kerana Laporan Ketua Audit Negara terus mendedahkan kelemahan ketara saban tahun meliputi pengurusan kewangan lemah, ketidakpatuhan prosedur dan amalan perolehan meragukan.
“Kes penyeludupan dan pengelakan cukai terus berlaku, sering kali di bawah pengawasan mereka yang diamanahkan untuk mencegahnya. Seperti peribahasa, harapkan pagar, pagar makan padi,” titah baginda.
Apa yang lebih membimbangkan, titah baginda, adalah perbuatan itu sering berlaku dengan kerjasama anggota penguat kuasa.
“Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks jenayah negara meningkat 11.1 peratus pada 2024, dengan 58,255 kes dilaporkan berbanding 52,444 pada 2023.
“Pada 2003, sebelum pelancaran Pelan Integriti Nasional, Malaysia berada di kedudukan ke-37 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.
“Menjelang 2024, dua dekad kemudian, Malaysia jatuh 20 anak tangga ke kedudukan ke-57. Kedudukan terendah dalam sejarah — tempat ke-61 — dicatatkan pada 2018 dan 2022,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








