Sunway Medical Centre kekal hospital terbaik Malaysia sejak 2022
KUALA LUMPUR – Sunway Medical Centre (SMC) terus membuktikan kecemerlangannya dalam sektor penjagaan kesihatan apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Hospital Terbaik Malaysia bagi tahun kelima berturut-turut di Healthcare Asia Awards 2026.
Lebih membanggakan, hospital kuaternari swasta terbesar negara itu turut merangkul anugerah Inisiatif Hospital Pintar Terbaik Malaysia.
Kejayaan itu secara tidak langsung mengiktiraf keupayaan SMC dalam memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pesakit.
Dalam satu kenyataan, SMC memaklumkan bahawa hospital itu kini disokong lebih 300 pakar perunding tetap merangkumi 80 kepakaran serta 28 pusat kecemerlangan, sekali gus memperkukuh peranannya dalam menawarkan rawatan holistik dan multidisiplin yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr Seow Vei Ken berkata, pengiktirafan berterusan itu mencerminkan komitmen hospital dalam mempertingkat mutu penjagaan kesihatan melalui kepakaran dan inovasi.
“Pengiktirafan hospital terbaik untuk kali kelima berturut-turut serta anugerah Inisiatif Hospital Pintar adalah bukti kukuh kepada visi kami di SMC.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mempertingkatkan penjagaan kesihatan melalui kecemerlangan klinikal, inovasi dan paling utama, hasil pemulihan pesakit yang lebih baik,” katanya.
Beliau menambah, SMC akan terus memperluas penggunaan penyelesaian digital bagi meningkatkan kualiti penyampaian rawatan dan kepuasan pesakit.
Antara pencapaian terkini, SMC memperkenalkan Sistem CT Pengiraan Foton pertama di Malaysia pada 2025, selain mencatat kemajuan dalam pembedahan tulang belakang robotik menerusi penggunaan Suite Pembedahan Robotik Tulang Belakang AiBLE™️ di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Dalam perkembangan berkaitan, SMC turut diiktiraf sebagai Hospital Terbaik di Malaysia serta tersenarai dalam kelompok 250 hospital terbaik dunia dalam Anugerah Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek.
Malah, hospital itu turut menduduki tempat pertama di Asia bagi pembedahan katarak dalam senarai Hospital dan Klinik Swasta Terbaik Asia 2026 oleh organisasi sama, selain mencatat kedudukan tertinggi dalam beberapa bidang oftalmologi dan ortopedik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








