BERITA SEMASA

Lelaki berkelakuan tidak waras di stesen minyak Tangkak alami masalah kesihatan – Polis

TANGKAK – Polis Daerah Tangkak mengesahkan telah mengesan satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai berkelakuan tidak stabil di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, video yang dimuat naik melalui Facebook itu memaparkan seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu, berpakaian seragam syarikat SWM, dalam keadaan dipercayai tidak waras dan dikatakan cuba mencederakan dirinya sendiri sehingga menarik perhatian orang ramai.

Menurut beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas dan lelaki berkenaan dipercayai mempunyai masalah kesihatan.

“Ahli keluarga lelaki terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak pada 23 Julai 2026 bagi menafikan pelbagai andaian serta spekulasi yang tidak tepat berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan juga mendapati individu berkenaan merupakan pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengelirukan masyarakat serta mengganggu privasi individu dan keluarganya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian melibatkan aspek keselamatan atau ketenteraman awam diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di talian 06-978 5222 bagi membantu siasatan dan tindakan pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button