Kehadiran anggota polis di stesen minyak ditingkatkan, ketat kawalan ketirisan, penyeludupan
KOTA KINABALU – Kehadiran anggota polis di stesen minyak seluruh negara akan diperluas ke kawasan sempadan dan berisiko tinggi susulan usaha kerajaan memperketat kawalan terhadap ketirisan dan penyeludupan bahan api.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dibuat berikutan kebimbangan terhadap peningkatan risiko ketirisan petrol dan diesel dalam situasi krisis tenaga global yang berkait dengan konflik di Asia Barat.
Jelas beliau, peluasan penugasan itu bertujuan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti terdedah kepada penyelewengan bekalan dan aktiviti penyeludupan bahan api.
“Sejak 20 Mac, pegawai penguat kuasa kementerian telah ditempatkan secara berkala di stesen minyak di kawasan sempadan di seluruh negara.
“Susulan pembentangan oleh Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), didapati perlu untuk memperluas pemantauan statik ke semua stesen minyak berhampiran sempadan serta kawasan berisiko tinggi lain.
“Sehubungan itu, bantuan polis diperlukan dengan mengambil kira kekangan jumlah anggota penguat kuasa perdagangan dalam negeri serta keperluan pemantauan lebih terperinci terhadap status bekalan dan harga di seluruh negara dalam keadaan konflik semasa,” katanya selepas melancarkan Program Inisiatif Bank Makanan Ihsan (i-FB) Santuni Komuniti@Dapur Kita-Kita, di sini hari ini.
Beliau menambah, keputusan itu telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet pada 8 April.
Bagi fasa pertama bermula 20 Mac hingga kini, pegawai penguat kuasa telah ditempatkan secara statik di 87 stesen minyak di seluruh negara.
Katanya, langkah itu akan diikuti dengan penambahan 70 lagi stesen dalam fasa kedua bermula minggu hadapan, dengan sokongan pihak polis.
“Kami akan terus memantau risiko dan menilai keperluan untuk memperluaskan lagi pelaksanaan dari semasa ke semasa.
“Saya juga telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri mengenai kemungkinan melibatkan sukarelawan Rela dalam pemantauan statik di stesen minyak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





