Kes bunuh di Seri Kembangan: 2 suspek didakwa di mahkamah
PETALING JAYA – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang jurujual wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dengan tangan terikat berhampiran Bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, pada akhir Oktober lalu.
Tertuduh, K. Kaarthiek, 26, seorang pegawai teknologi maklumat dan A. Hariprasanth, 23, pemandu lori, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh Saraswathy Chan Chee Keong, 24, di Jalan Orkid berhampiran Bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, antara 6.18 petang, 24 Oktober 2025 hingga 2.17 pagi, 25 Oktober 2025.
Mayat mangsa sebelum itu ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dengan kedua-dua tangannya terikat, mencetuskan tumpuan meluas dalam kalangan penduduk setempat.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Ia memperuntukkan hukuman mati, atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan sehingga 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman gantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui, manakala Kaarthiek diwakili peguam Sivahnanthan Ragava.
Hariprasanth pula diwakili peguam Kailash Sharma dan Datin Raj Preet Kaur.
Mahkamah menetapkan 16 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan laporan kimia dan bedah siasat dilengkapkan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








