LUAR NEGARA

Menteri Pendidikan India letak jawatan setelah terpalit dakwaan salah urus peperiksaan

NEW DELHI – Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan hari ini selepas protes besar-besaran yang diterajui golongan muda mendesak beliau berundur.

Dharmendra sebelum ini terpalit dengan dakwaan salah urus peperiksaan yang dianggap boleh memberi kesan besar terhadap masa depan pelajar, lapor AFP.

“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada perdana menteri,” kata Pradhan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X.

Gerakan Cockroach Janta Party (CJP) yang digerakkan melalui media sosial mengetuai protes berkenaan susulan kebocoran kertas peperiksaan dan menuntut pembaharuan menyeluruh dalam sistem pendidikan negara.

Demonstrasi di lokasi protes Jantar Mantar di tengah New Delhi semakin meningkat sepanjang minggu ini dan mula merebak ke beberapa kawasan lain di India.

Terdahulu, kerajaan India mengadakan rundingan dengan pemimpin CJP pada Isnin dan Jumaat, namun tidak berjaya apabila gerakan yang diterajui golongan muda itu tetap berpegang kepada tuntutan mereka.

“Saya berasa sedih melihat peristiwa yang berlaku dalam tempoh 10 hari lalu. Ini bukan soal maruah peribadi saya.

“Golongan muda India adalah kekuatan sebenar negara ini. Keazaman saya ialah kita tidak akan membiarkan golongan muda negara ini terperangkap dalam kitaran kekeliruan,” katanya Dharmendra dalam hantaran sama.

Para penunjuk perasaan bersorak kegembiraan selepas pengumuman peletakan jawatan itu.

“Kita telah berjaya,” kata pengasas CJP, Abhijeet Dipke, kepada sorakan ratusan penunjuk perasaan.

Protes tersebut menjadi antara cabaran terbesar terhadap pentadbiran Modi yang berhaluan nasionalis Hindu sejak beliau dipilih semula pada 2024.

Menurut jurucakap CJP, Ashutosh Ranka, tuntutan lain penunjuk perasaan termasuk pampasan kepada mereka yang terjejas akibat masalah peperiksaan serta pengguguran kes undang-undang terhadap peserta demonstrasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button