BERITA SEMASA

Dokumentari Jejak Harmoni cerminkan realiti keharmonian antara penganut agama di Malaysia

KUALA LUMPUR – Dokumentari Jejak Harmoni (JH) 2024 terbitan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berjaya menarik perhatian ramai apabila mencatatkan jumlah tontonan mencecah 2.76 juta di pelbagai saluran media sosial.

Disiarkan menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM), dokumentari itu mengetengahkan kisah sebenar mengenai keharmonian antara penganut pelbagai agama di Malaysia, sekali gus mendapat sambutan hangat daripada penonton pelbagai lapisan masyarakat.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr. Shatesh Kumar Sangar berkata, kejayaan itu membuktikan usaha JPNIN dalam memaparkan realiti keharmonian antara rumah ibadat dan penganut agama di negara ini membuahkan hasil.

“Melalui enam episod JH, masyarakat dihidangkan dengan penerangan ringkas serta padat mengenai bagaimana hubungan erat dapat terjalin walaupun rumah ibadat berada bersebelahan antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shatesh berkata, dokumentari itu turut menampilkan kisah unik mengenai rumah ibadat yang membuka ruang parkir mereka bagi memudahkan umat Islam menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

“Inisiatif seperti itu mencerminkan semangat toleransi dan saling memahami yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan agama dan budaya,” ujarnya.

JH merupakan cetusan idea Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, yang menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuhkan semangat keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Bertunjangkan prinsip Faham, Hormat, Terima – JH mengetengahkan bagaimana masyarakat di Malaysia saling memahami perbezaan, menghormati amalan agama orang lain dan menerima kepelbagaian budaya sebagai aset utama kemakmuran negara,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil atas sokongan mereka dalam membolehkan dokumentari itu ditayangkan menerusi saluran TV1, sebagai usaha memupuk kesedaran tentang pentingnya hidup bermasyarakat secara harmoni.

Bagi mereka yang terlepas menonton siaran itu, kesemua enam episod Jejak Harmoni boleh diakses melalui saluran YouTube HARMONI.

Sateh turut berkata, dokumentari itu dihasilkan di bawah arahan Datuk Che Roslan Che Daud, Ketua Pengarah JPNIN, bersama Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama JPNIN.

“Menampilkan hos popular Danial Dashuki dan Daniel Leong, kehadiran mereka sebagai pencerita turut menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan dokumentari itu.

“Jejak Harmoni bukan sekadar tontonan, tetapi cerminan indah realiti Malaysia yang kaya dengan semangat perpaduan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button