Kempen Malaysia Membaca penting pupuk semula budaya membaca di era digital masa kini
KUALA LUMPUR – Kempen Malaysia Membaca yang dilancarkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) adalah penting bagi memupuk semula budaya membaca sebagai amalan harian rakyat Malaysia.
Menurut seorang penuntut universiti awam, Haziq Hakimi, di era digital masa kini, cabaran terbesar ialah menarik minat generasi muda untuk terus menjadikan membaca sebagai gaya hidup dan bukan sekadar aktiviti akademik.
“Bagi anak muda, bahan bacaan bukan lagi terhad kepada buku fizikal. Platform digital seperti e-buku, laman web interaktif, serta media sosial menjadi sumber maklumat utama.
“Walaupun ini menunjukkan perubahan positif dalam cara membaca, ada yang berpendapat bahawa tumpuan terhadap bahan bacaan ilmiah semakin berkurangan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Turut berkongsi pendapat sama, seorang pelajar universiti, Nur Izzah Ibrahim berkata, kempen membaca perlu disesuaikan dengan gaya hidup generasi kini.
“Kalau kempen dibuat dalam bentuk cabaran digital seperti ‘reading challenge’ di media sosial atau kolaborasi dengan influencer, lebih ramai anak muda akan terlibat.
“Selain itu, institusi pendidikan dan perpustakaan juga memainkan peranan penting untuk menjadikan aktiviti membaca lebih interaktif. Penganjuran sesi bacaan santai, kelab buku maya, dan penggunaan teknologi seperti QR code untuk akses bahan bacaan boleh menjadikan kempen ini lebih menarik,” ujarnya.
Sepanjang bulan ini KPN melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan menganjurkan Kempen Malaysia Membaca sebagai usaha memperkukuh budaya ilmu dan memupuk semangat membaca dalam kalangan masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perpustakaan kekal relevan walaupun berdepan cabaran era digital.

“Sering timbul persoalan tentang kerelevanan perpustakaan di zaman moden. Namun, angka membuktikan sebaliknya.
“Sepanjang tahun 2024, seramai 8.2 juta pengguna telah menggunakan perkhidmatan PNM.
“Ini menunjukkan perpustakaan bukan sahaja masih penting, malah terus menjadi pusat rujukan, pembelajaran dan interaksi sosial masyarakat,” kata Aaron dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sepanjang 2024 sahaja, PNM telah melaksanakan sebanyak 56,473 program galakan membaca di seluruh negara.
“Angka itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








