Kementerian Perpaduan anjur Kempen Malaysia Membaca, perkukuh budaya ilmu dalam masyarakat
KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Kempen Malaysia Membaca sepanjang Oktober ini sebagai usaha memperkukuh budaya ilmu dan memupuk semangat membaca dalam kalangan masyarakat.
Pelbagai program dan aktiviti menarik telah dirancang di perpustakaan seluruh negara bagi menjadikan pembacaan sebagai budaya hidup rakyat Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa perpustakaan kekal relevan walaupun berdepan cabaran era digital.

“Sering timbul persoalan tentang kerelevanan perpustakaan di zaman moden. Namun, angka membuktikan sebaliknya.
“Sepanjang tahun 2024, seramai 8.2 juta pengguna telah menggunakan perkhidmatan PNM.
“Ini menunjukkan perpustakaan bukan sahaja masih penting, malah terus menjadi pusat rujukan, pembelajaran dan interaksi sosial masyarakat,” kata Aaron dalam kenyataan.
Menurut beliau, sepanjang 2024 sahaja, PNM telah melaksanakan sebanyak 56,473 program galakan membaca di seluruh negara.
“Angka itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030,” ujar beliau.
Bagi memastikan perpustakaan kekal dekat dengan masyarakat, kementerian juga giat memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih interaktif dan menyeronokkan, khususnya bagi menarik minat generasi muda.

Antara usaha tersebut termasuk penggunaan teknologi digital, aktiviti kreatif serta integrasi kecerdasan buatan (AI), realiti maya dan metaverse sebagai sebahagian daripada pengalaman membaca.
Aaron menegaskan bahawa perpustakaan bukan sekadar gedung buku, tetapi lambang tamadun, identiti bangsa dan kemajuan manusia.
“Seperti Perpustakaan Alexandria, Bodleian di Oxford dan Perpustakaan Kongres di Amerika Syarikat, perpustakaan di Malaysia juga mampu terus bertahan sebagai pusat ilmu jika didukung semua pihak termasuk kerajaan, swasta, NGO, komuniti dan individu,” jelasnya.
Kempen Malaysia Membaca itu diharap menjadi pemangkin ke arah melahirkan masyarakat berpengetahuan, kritis dan bersatu padu.
Dengan kerjasama seluruh rakyat, Misi Negara Membaca 2030 bukan sahaja boleh direalisasikan, tetapi turut mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpaksikan budaya ilmu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








