Dr Taufiq tinjau latihan atlet negara di MSN Bukit Jalil, pamer bakat menembak
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari meluangkan masa meninjau sesi latihan atlet negara di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil kelmarin, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap persiapan kontinjen Malaysia menghadapi kejohanan antarabangsa.
Ketibaan beliau disambut oleh Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia merangkap Chef de Mission (Malaysia Timur) bagi Sukan SEA 2027, Azizul Annuar Adenan.
Sepanjang lawatan tersebut, Dr Taufiq berpeluang melihat secara dekat sesi latihan atlet taekwondo, karate serta menembak negara yang giat menjalani persiapan dengan penuh disiplin.
Menurut beliau, para atlet menunjukkkan komitmen dan kesungguhan dalam menjalani latihan penuh disiplin demi membawa pingat untuk Malaysia.
“Melihat sendiri rutin mereka, kita akan lebih menghargai bahawa setiap pingat yang diraih bukan hadir dengan mudah, tetapi lahir daripada kerja keras yang konsisten, mental yang kental dan semangat juang yang tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam lawatan itu, Dr Taufiq turut berpeluang mempamerkan bakat menembak di lapang sasar dengan bimbingan atlet menembak negara, Alia Sazana Azahari yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 serta pingat perak Sukan SEA 2025.
Mengulas pengalaman tersebut, beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang menarik dan mencabar.
“Pengalaman saya? Not bad juga,” katanya secara berseloroh.
Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen Kementerian Belia dan Sukan dalam memastikan kebajikan serta persiapan atlet negara terus diberi perhatian, khususnya menjelang temasya Sukan SEA 2027.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








