BERITA SEMASA

KIBAR 2026 dilancar, perkasa belia akar umbi seluruh negara

SEPANG – Kementerian Belia dan Sukan melancarkan inisiatif baharu berskala nasional, Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026, bagi memperkasa golongan belia akar umbi khususnya yang tidak berpersatuan di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata, program itu dirangka melalui pendekatan lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi bagi menggalakkan penyertaan belia dalam ekosistem persatuan.

“Program ini turut bertujuan mendekatkan belia dengan kepimpinan kerajaan serta membuka ruang kepada mereka menyuarakan aspirasi secara langsung,” katanya pada Majlis Peluncuran KIBAR 2026 di Pusat Aktiviti Homestay Banghuris, hari ini.

Menurut beliau, KIBAR 2026 akan dilaksanakan menerusi 17 siri program di 17 lokasi di seluruh negara, melibatkan satu siri di setiap negeri di Semenanjung serta Wilayah Persekutuan Labuan, manakala Sabah dan Sarawak masing-masing akan menganjurkan dua siri.

Katanya, pendekatan itu bagi memastikan capaian menyeluruh termasuk ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tambahnya, pelaksanaan program itu digerakkan melalui kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk IMPACT Integrated, Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC), Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) serta Majlis Belia Malaysia.

“Antara fokus utama KIBAR 2026 ialah pengukuhan nilai kesukarelawanan, semangat rakan prihatin dalam komuniti serta pembangunan kepimpinan belia akar umbi,” katanya.

Dalam majlis sama, Selangor dipilih sebagai lokasi peluncuran rasmi selain menyaksikan penyerahan cek cura dana bantuan belia kepada semua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Dana berkenaan akan digunakan bagi pelaksanaan Program Intervensi Belia Tidak Berpersatuan serta inisiatif Dari Belia Untuk Belia.

Dr Taufiq berkata, KIBAR 2026 dijangka mampu meningkatkan penyertaan belia dalam persatuan dan komuniti serta mengukuhkan hubungan antara belia dan kepimpinan negara.

“KBS berharap program ini menjadi pemangkin kepada pembangunan belia yang progresif, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button