BERITA SEMASA

Tiada pun peruntukan RM20 juta bina litar drag – KBS

PUTRAJAYA – Kementerian Belia Sukan (KBS) menegaskan peruntukkan RM20 juta yang didakwa telah diperuntukkan bagi membangunkan satu litar di setiap negeri sebenarnya tidak pernah disalurkan kepada pihaknya bagi pembangunan litar drag seperti yang diumumkan.

Menurut KBS dalam satu kenyataan, ini kerana peruntukan RM20 juta yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi Bajet 2023 tidak pernah dibahaskan di Parlimen dan tidak mendapat kelulusan berikutan beliau telah membubarkan Parlimen sejurus selepas membentangkan belanjawan itu.

“Oleh yang demikian, bajet tersebut tidak pernah disalurkan kepada KBS bagi pembangunan litar drag seperti yang diumumkan. Selain daripada itu, bajet tersebut diumumkan tanpa mendapat data dan maklum balas daripada pihak KBS.

“Jumlah RM 20 juta tidak cukup untuk pembinaan litar di setiap negeri. KBS amat prihatin terhadap faktor keselamatan anak muda dan tidak berhasrat untuk membina litar berdasarkan konsep sekadar ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalama pada itu, katanya, pihaknya tidak menafikan sukan permotoran di litar drag merupakan perlumbaan di platform yang baik dan bermanfaat untuk anak muda namun begitu, keselamatan pelumba, penonton dan semua yang terlibat perlu diberi keutamaan.

Katanya lagi, KBS sentiasa proaktif dan mencari kaedah-kaedah lain bagi memastikan sukan permotoran ini dapat terus dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal dan selamat walaupun kekangan kewangan ketika ini menghalang usaha pembinaan baharu litar-litar permotoran khasnya litar drag.

“Antara usaha yang dilakukan adalah melalui projek menaiktaraf serta memperbaiki kemudahan sedia ada di bawah KBS seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mencapai spesifikasi antarabangsa serta Litar Lumba Tangkak di Johor bagi penggiat sukan permotoran tempatan.

“KBS turut bekerjasama dengan Persatuan Bermotor Malaysia (MAM) selaku badan induk Sukan Permotoran dalam memastikan operator serta penganjur sukan permotoran ini dapat melaksanakan program atau aktiviti mereka di litar yang selamat dengan membuat penyenaraian litar-litar kekal yang telah disahkan (homologate) serta menyediakan spesifikasi minimum bagi litar sementara,” katanya.

Selain itu katanya, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan MAM juga
sedang giat membangunkan Garis Panduan Sukan Bermotor yang mana akan memberikan panduan mengenai sukan bermotor terutamanya melibatkan penganjuran acara termasuklah perlumbaan drag.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button