BERITA SEMASA

KBS lahirkan pekerja belia profesional sebagai aset negara

SEREMBAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh peranan pekerja belia sebagai aset penting negara dalam membentuk generasi masa depan melalui Majlis Pentauliahan Profesionalisme Kerja Belia Kali Ke-2 Tahun 2025 yang diadakan di Klana Resort Seremban, hari ini.

KBS LAHIRKAN PEKERJA
Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu, yang turut menyampaikan pentauliahan kepada 277 individu yang berjaya menamatkan latihan serta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

Dua penerima turut dianugerahkan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) sebagai pembangun Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), menjadikan mereka contoh pekerja belia profesional yang berkemahiran tinggi.

Nagulendran berkata, inisiatif pensijilan ini merupakan langkah strategik KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagi memperkukuh peranan pekerja belia dalam melahirkan generasi muda yang mempunyai bakat kepimpinan, keperibadian unggul dan semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Pentauliahan ini menjadi titik permulaan kepada pekerja belia untuk melangkah lebih jauh dalam bidang kepimpinan dan profesionalisme. Ia bukan sekadar pengiktirafan terhadap kemahiran sosial, tetapi turut menilai keupayaan kepimpinan dan jati diri mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru semua penerima pentauliahan supaya menjadi ejen perubahan dan pemangkin pembangunan komuniti belia di seluruh negara, selaras dengan aspirasi Rakan Muda Mahir dan Dasar Belia Malaysia 2025.

Majlis tahunan itu turut menjadi platform bagi menghargai komitmen, ketekunan dan disiplin tinggi dalam kalangan pekerja belia serta menggalakkan mereka untuk terus aktif dalam bidang kepimpinan dan kesukarelawanan di peringkat lebih tinggi.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button