RENCANA

Ramadan, darah dan penggali kubur

AKHIRNYA semalam sempat penulis bersembang dengan Kak Lela, jiran yang menyewa di unit rumah bawah sejak beberapa tahun lalu. Dah lebih sebulan aku cari peluang untuk berbual, sebab ada perkara yang nak ditanyakan.

Sebelum ni kerap juga kami berselisih di tempat parking motor, tak bertegur sapa pun, sekadar senyum tanda hormat orang yang lebih berumur sahaja. Cuma kebelakangan ni kami jarang bersua di laluan koridor apartment.

Petang semalam sebaik sampai dari ambil anak-anak sekolah, aku berselisih dengan Kak Lela, bertanya khabar dan dia pun macam ada benda nak bercerita.

Rupanya dia nak berterima kasih pada kutipan derma kilat yang penduduk apartment bagi untuk uruskan pengebumian ayahnya pada bulan lepas.

“Duit tu saya serah semuanya pada Amal Team walaupun mereka tak minta apa-apa bayaran. Ni nak ajak awak datang tahlil, minggu depan baru nak buat,” katanya.

Rupanya dia pun tahu dan dah lama ikut rapat kerja-kerja Amal Team. Ya, kalau di Kajang dan Bangi ni, memang mereka diakui cukup efisien menguruskan jenazah. Lengkap dengan lori mandi jenazah dan ada skim khairat kematian sendiri.

Aku cuba tamatkan perbualan pasal Amal Team untuk ajukan soalan sebenar yang bermain di kepala. Nak tanya pasal arwah ayahnya, Pak Nawi atau Pak Usu Nawi kalau tak silap gelaran yang disebutnya.

Aku sendiri tak kenal si mati, sekali pun tak pernah bertemu muka. Pak Nawi datang tinggal bersama Kak Lela hanya beberapa minggu sebelum meninggal dunia di apartment kami.

Dia meninggal pada 15 Mac lalu, hari Jumaat, malam kelima Ramadan, lebih kurang beberapa jam sebelum fajar dengan kedua-dua tangan seperti dalam Qiam solat.

“Arwah sakit apa? Dia buat apa masa hidup? soalan tanpa filter aku kepada Kak Lela.

“Arwah tidak ada apa-apa sakit yang serius, mungkin sakit tua sahaja. Sebelum ini dia ada mengadu kurang sihat, sebab dah lama tak derma darah.
“Dulu arwah penderma darah nombor 2 paling kerap di Malaysia. Ada pingat emas dari KKM. Kalau ikut masa tu (tahun 90-an), rekod derma darah dia 146 kali.

Kak Lela kata, kekerapan arwah menderma darah boleh dikatakan setiap tiga bulan sekali. Bila lama tidak ke hospital, arwah akan mula gelisah.
“Kalau tak keluar darah, dia jadi tak sedap badan. Mungkin macam bekam la kan.

Pernah juga kata Kak Lela, seorang tauke Cina datang ke rumah Pak Nawi di Jengka (kampung asal Pak Nawi) untuk bawa arwah ke hospital bagi mendapatkan darah ayahnya. Mungkin dalam kalangan jururawat atau orang kampung ada yang tahu pasal kelebihan darah penderma tegar seperti Pak Nawi. Cuma Pak Nawi bukanlah penjual darah.

Dengan jawapan Kak Lela tu aku kira persoalanku sudah pun terjawab, tapi rupanya ada lagi kisah hidup Pak Nawi yang mungkin menghadiahkan dia kematian yang dicemburui.

“Arwah kerja apa selain kerja ladang?

“Kat kampung dulu, ayah gali kubur,” kata Kak Lela.

Pernah dua kali kata Kak Lela, Pak Nawi tertimbus semasa mengorek liang lahat yang dibuat bentuk slope (sisi/L shape).

“Biasanya ayah turun dan baring dalam liang untuk ukur saiz lubang guna badan dia. Tu yang sampai tertimbus. Nasib baik ada kawan kat kubur yang cari dia masa tu,” katanya.

Aku kekaguman. Bukan calang-calang Pak Nawi ni. Dan ketika aku hampir berpuas hati dengan kisah dan petunjuk-petunjuk husnul khatimah yang diceritakan, rupanya masih tersisa kejutan lain.

Pak Nawi semasa hidup rupanya seorang sukarelawan pasukan kecemasan Saint John. Dia banyak terlibat memberi bantuan kepada mangsa-mangsa kemalangan jalan raya.

Sebahagian daripada tugasnya termasuklah mengutip cebisan-cebisan anggota badan atau mayat yang bertaburan di jalanan. Kerja yang bukan semua orang sanggup nak buat.

“Pernah juga ayah bawa balik ke rumah dulu ‘semua tu’ sebelum hantar ke hospital,” kata Kak Lela.

“Apa lagi kak kebaikan arwah? soalku cuba mengakhiri sembang yang menghampiri senja. Itulah ayah yang saya kenal. Sebelum arwah mak (nenek) saya meninggal, dia jugalah yang jaga mak selama empat tahun di kampung.

*Al-Fatihah… Semoga roh Pak Nawi dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golangan yang beriman dan beramal soleh.

*Artikel ini adalah coretan daripada pengalaman sebenar penulis. Semoga kita mengambil iktibar dari kisah ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button