Pangkalan data penerima zakat sedang dibangunkan bagi elak pertindihan agihan
KUALA LUMPUR – Bagi mengelakkan pertindihan dalam urusan agihan zakat kepada golongan asnaf, sebuah pangkalan data sedang dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan iaitu Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar
Menurut Mohd Na’im, sistem tersebut akan membolehkan pihak majlis agama Islam negeri dan agensi mengurus zakat membuat semakan data secara real time atau near real time sekali gus dapat membantu mempercepatkan proses pengagihan bantuan zakat dengan teratur kepada mereka yang layak.
Kata beliau, pangkalan data atau bank data amat penting bagi melancarkan pengurusan bantuan kepada rakyat khususnya golongan asnaf fakir dan miskin.
“Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) bersama-sama majlis agama dan agensi mengurus zakat amat menyambut baik usaha ini dan sedang menyediakan set data yang bersesuaian sebagaimana keperluan Jabatan Perangkaan,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai usaha kerajaan dalam memastikan tidak berlakunya pertindihan agihan zakat kepada golongan sasar yang memerlukan khususnya golongan asnaf iaitu fakir dan miskin.
Katanya, pangkalan data itu juga dihasilkan melalui kerjasama strategik yang terjalin antara agensi persekutuan bersama-sama pihak berkuasa, majlis agama dan agensi mengurus zakat yang diselaraskan oleh Jawhar.
“Perkongsian data antara agensi dapat dilaksanakan sekali gus dapat membantu mengelakkan pertindihan dalam urusan agihan zakat kepada golongan asnaf,” katanya lagi.
Dalam sidang yang sama, Mohd Hisamudin Yahaya turut bertanya mengenai usaha dilakukan kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan khususnya asnaf fakir dan miskin dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kenaikan harga barangan.
Menjawab persoalan tersebut, Mohd Na’im berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah membelanjakan RM733,262,510 melalui wang zakat dikutip di Wilayah Persekutuan, yang memanfaatkan kira-kira 170,000 golongan asnaf fakir dan miskin setakat Oktober lepas.
Selain itu, kata beliau, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) turut mengguna pakai kaedah had kifayah dalam penentuan jenis dan jumlah bantuan yang disalurkan kepada semua asnaf yang layak.
“Sehubungan itu, melalui pengenalpastian golongan sasar yang jelas serta kaedah had kifayah ini, agihan yang teratur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Sebarang isu yang timbul berkaitan kutipan dan agihan, akan sentiasa diteliti dan dibincangkan oleh semua MAIN/AMZ melalui dua mekanisme utama.
“Dua mekaninsme itu iaitu menerusi platform Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN) yang diurussetiakan sekretariat yang dilantik oleh MAIN/AMZ sendiri dan Mesyuarat Penyelarasan Program Zakat Bersama MAIN/AMZ yang diurussetiakan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR),” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








