Hakim Danish terjatuh, terpaksa bermula dari petak terakhir
KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli berdepan detik sukar apabila terjatuh pada sesi kelayakan pertama sekali gus memaksanya memulakan perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat (AS) dari petak terakhir, pagi esok.
Hakim tidak sempat mencatat masa terbaik susulan insiden tersebut, menyaksikannya hanya menduduki tangga ke-25 keseluruhan pada sesi kelayakan di Circuit of the Americas, Austin.
Keputusan itu menyaksikan pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi berkenaan perlu memulakan saingan dari barisan paling belakang dalam perlumbaan utama GP AS.
“Saya kekal fokus dan bermotivasi. Malangnya, saya terjatuh sebelum sempat mencatat masa terbaik. Saya akan memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-25 di grid. Bersedia untuk bangkit,” kata Hakim dalam kenyataan di Facebook.
Dalam sesi kelayakan tersebut, pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe mencatat masa terpantas dua minit 12.107 saat untuk meraih petak pertama, diikuti Casey O’Gorman di tempat kedua dengan catatan 2:12.519 saat.
Tempat ketiga pula menjadi milik Valentin Perrone yang mencatat 2:12.526 saat.
Walaupun bermula dari petak terakhir, Hakim masih berpeluang untuk mencipta kebangkitan selepas berjaya mengutip tujuh mata pada perlumbaan GP Brazil minggu lalu dengan menamatkan saingan di tangga kesembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








