Yusof Haslam gugur pelakon disyaki positif dadah daripada produksi
KUALA LUMPUR – Penerbit dan pemilik Skop Productions, Datuk Yusof Haslam menegaskan syarikatnya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelakon yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, susulan penahanan seorang pelakon wanita yang membintangi drama Gerak Khas Undercover 2.0.
Yusof berkata, pelakon terbabit digugurkan serta-merta daripada produksi walaupun penggambaran hanya berbaki dua episod sebelum tamat.
“Penggambaran tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi selepas dimulakan sejak Disember 2025. Kita baru buat majlis pelancaran dan dah disiarkan pun untuk minggu kedua.
“Ikutkan memang dia pun masih ada banyak babak lagi untuk dua episod terakhir siri ini, tetapi kita nekad buat keputusan tegas.
“Kalau drama ini disambung untuk musim akan datang pun, nama dia tiada dalam senarai. Kalau kami tahu lebih awal, memang takkan ambil dia,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut beliau, semua pelakon dan kru produksi telah diingatkan sejak awal supaya menjaga disiplin serta menjauhi penyalahgunaan dadah demi menjaga reputasi produksi dan imej drama kepolisan itu.
“Saya selalu tekankan soal integriti. Saya pesan kepada semua, jangan terlibat dengan dadah atau benda yang boleh merosakkan imej pasukan.
“Tapi kita tak mampu kawal apa yang mereka buat di luar waktu bekerja. Anak ramai pun, seorang dua tetap ada yang buat hal. Dah boleh fikir buruk baik. Takkan kita nak ikut ke mana-mana,” ujarnya.
Yusof turut mendedahkan pelakon berkenaan merayu agar dibenarkan menamatkan baki penggambaran, namun permintaan itu ditolak.
“Dia merayu kepada saya, minta dihabiskan penggambaran. Saya cakap, ‘no, enough is enough. I have to drop you.’ (Cukup, saya kena gugurkan awak).
“Saya beritahu dia, untuk produksi Skop selepas ini memang saya tak akan ambil lagi. Apatah lagi untuk drama kepolisan,” katanya.
Beliau berkata, pelakon terbabit sebelum ini tidak pernah menimbulkan masalah disiplin sepanjang hampir lapan tahun bersama francais Gerak Khas, namun insiden itu amat mengecewakan.
“Selama ini tiada masalah disiplin pun. Sebab itu saya ambil dia untuk naskhah terbitan TVS ini. Apabila jadi macam ini, saya memang dukacita.
“Bagi saya, dia sendiri yang membakar kariernya. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah tempias turut terkena kepada produksi yang sedang kami bangunkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Yusof berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pelakon serta kru industri supaya sentiasa menjaga disiplin dan integriti.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita drama kepolisan ditahan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Pelakon itu ditahan bersama 17 individu lain dalam operasi yang dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
