JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru suspek baling batu di WCE

KUALA LANGAT – Polis sedang giat memburu individu yang disyaki membaling batu dari atas jambatan ke arah kenderaan di Lebuh Raya Persiaran Pantai Barat (WCE), satu perbuatan berbahaya yang hampir mengundang tragedi kepada pengguna lebuh raya itu.

Insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi, Khamis lalu di Kilometer 8.3 arah selatan berhampiran Jambatan Seri Cheeding.

Balingan batu berkenaan menyebabkan kerosakan pada sebuah kenderaan yang melalui laluan tersebut namun tiada kecederaan dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.22 petang kelmarin daripada seorang petugas yang sedang menjalankan rondaan rutin di WCE.

Menurutnya, pengadu berusia 32 tahun memaklumkan menerima maklumat mengenai insiden berkenaan daripada kumpulan Selangor WCE Patrol.

“Laporan dibuat bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan lanjut termasuk meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, polis kini sedang mengesan suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222,” jelasnya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi sebuah video berdurasi 56 saat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button