James Chai diambil keterangan lebih lapan jam oleh SPRM
KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, James Chai dilepaskan selepas diambil keterangan lebih lapan jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.
Difahamkan, beliau yang juga bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli dilepaskan kira-kira jam 6.30 petang selepas hadir bagi membantu siasatan.
Terdahulu, James tiba di ibu pejabat SPRM sekitar jam 9.59 pagi untuk dirakam percakapan berhubung siasatan projek semikonduktor bernilai RM1.11 bilion yang disokong kerajaan.
Beliau yang kini menetap di London dilihat memakai baju putih dan menaiki sebuah kenderaan sebelum memasuki bangunan berkenaan.
Sebelum itu, sejak awal Mac lalu, SPRM dilaporkan sedang mengesan James sebelum mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Susulan itu, SPRM menerima surat daripada peguamnya bertarikh 9 Mac yang memaklumkan beliau tidak dapat hadir kerana kekangan kos penerbangan dan komitmen kerja di luar negara.
Bagaimanapun, SPRM memberi lanjutan tempoh dan menawarkan untuk menanggung kos penerbangan bagi memastikan kehadirannya, selain tidak menolak kemungkinan mendapatkan kerjasama antarabangsa termasuk melalui INTERPOL sekiranya gagal hadir.
Dalam perkembangan sama, setakat ini seramai 17 saksi telah dirakam percakapan melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Siasatan kes berkenaan masih diteruskan oleh pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














