Speaker: Belum ada pengesahan kekosongan kerusi DUN Selangor
SHAH ALAM – Belum ada sebarang pengesahan berhubung kemungkinan berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor berikutan proses semakan menyeluruh masih dijalankan.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, penelitian rapi sedang dibuat bagi memastikan setiap keputusan yang diambil mematuhi peruntukan undang-undang sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Menurut beliau, semakan itu membabitkan status semua ADUN tanpa mengira fahaman atau parti politik masing-masing.
“Saya akan beri maklumat selepas saya mendapat maklumat lengkap kerana sekarang ini masih dalam siasatan dan penelitian.
“Saya perlu semak semua dari mana-mana parti pun. Semua kawasan saya semak kerana kita tidak mahu terlepas apa-apa kemungkinan,” katanya ketika ditemui di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, keputusan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi satu kerusi DUN Selangor bergantung kepada keputusan Speaker DUN sebelum ditentukan oleh SPR.
Jumaat lalu, Amirudin memaklumkan, Speaker DUN Selangor dijangka membuat pengesahan berhubung dakwaan membabitkan status seorang ADUN, harii ini.
Amirudin berkata, perkara itu sedang diteliti bersama penasihat undang-undang negeri bagi menentukan tindakan yang perlu diambil sebelum sebarang keputusan dibuat.
Sebelum ini, timbul dakwaan Selangor mungkin berdepan PRK susulan seorang ADUN didakwa hilang kelayakan kerana diisytihar sebagai muflis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









