Jabatan Kesihatan NS siasat dakwaan restoran nasi kandar cuci sisa makanan untuk dijual semula
SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan akan menyiasat dakwaan yang tular di media sosial mengenai sebuah restoran nasi kandar di sini yang mencuci sisa makanan bagi dimasak dan dijual semula kepada pelanggan.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai berkaitan untuk ke lokasi bagi menjalankan temu siasat selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, lapor BH Online.

“Jika dakwaan melalui media sosial ini benar, tindakan lanjut akan diambil. Orang awam juga dinasihatkan menggunakan medium yang betul untuk menyalurkan aduan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan, individu dipercayai seorang pekerja di sebuah restoran nasi kandar dilihat mencuci sisa makanan dipercayai untuk dimasak semula.
Pengguna media sosial yang membuat hantaran itu berkata, dia melihat seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu yang jelas lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang.
Pada mulanya, katanya pekerja lain cuba mengelirukannya dengan jawapan tidak jujur, namun akhirnya tersasul dan mengaku makanan itu memang akan dimasak semula dan dikatakan tidak bahaya.
“Perkara itu amat tidak boleh diterima dan sangat membahayakan kesihatan orang awam,” katanya pengguna itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








