BERITA SEMASA

TPS2025 perkenal inovasi teknologi nuklear tempatan kepada industri – Nuklear Malaysia

PULAU PINANG – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) baru-baru ini menganjurkan Program Promosi Bersasar: Technology Preview & Showcase (TPS2025) di sebuah hotel, di sini.

Program itu dianjurkan bagi memperkenalkan hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) teknologi nuklear tempatan kepada pemain industri serta membuka ruang jaringan strategik ke arah pengkomersilan produk dan teknologi.

“Program TPS2025 (secara tidak langsung) terus memperkukuh peranan Nuklear Malaysia sebagai peneraju penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi nuklear negara.

“Berteraskan konsep pameran, pembentangan ilmiah dan sesi padanan perniagaan, program ini menjadi platform efektif untuk merapatkan jurang antara teknologi nuklear dan pihak industri serta pelanggan setempat,” kata agensi berkenaan dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi TPS2025 adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai hab industri elektronik, perkilangan berteknologi tinggi serta pelabuhan perdagangan antarabangsa.

“Kehadiran penyelidik Nuklear Malaysia di negeri ini membuka peluang untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan R&D nuklear kepada industri setempat, sekali gus membina kerjasama baharu dalam bidang berpotensi tinggi,” kata kenyataan itu lagi.

Disertai hampir 100 peserta terdiri daripada wakil industri, syarikat swasta, agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan, para peserta didedahkan dengan sesi pembentangan yang menekankan kepakaran teknikal dan aplikasi praktikal teknologi nuklear dalam memperkukuh daya saing industri, keselamatan, pemeliharaan alam sekitar serta jaminan sekuriti makanan negara.

Sehingga kini, TPS telah berjaya dianjurkan di Kelantan, Pahang, Melaka, Johor dan Kedah dengan setiap edisi menerima sambutan positif daripada pelbagai pihak.

“Penganjuran TPS2025 menzahirkan iltizam Nuklear Malaysia dalam mengarusperdanakan teknologi nuklear sebagai pemacu pembangunan sosio-ekonomi negara selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button