BERITA SEMASA

Nuklear Malaysia anjur kursus antarabangsa dalam bidang keselamatan sinaran

BANGI – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) baru-baru ini menganjurkan kursus antarabangsa Pendidikan PascaSiswazah Ke-18 Mengenai Perlindungan Sinaran & Keselamatan Sumber Sinaran, di sini.

Kursus yang dianjurkan secara bersama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ini merupakan satu inisaitif bagi memahami kepentingan teknologi nuklear dalam perkembangan sektor sosioekonomi negara.

Dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim (gambar), seramai 25 peserta dari 17 negara telah menyertai kursus peningkatan keupayaan ini.

“Melalui kursus ini, para peserta dapat memahami dan memperkukuhkan pelaksanaan piawaian keselamatan antarabangsa melalui pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan sinaran.

“Perlindungan sinaran adalah aspek penting dalam pelbagai industri, termasuk perubatan, tenaga, dan penyelidikan di mana penggunaan bahan radioaktif dan sumber sinaran memerlukan pengawalan ketat untuk mengelakkan risiko kepada kesihatan manusia dan kerosakan alam sekitar,” kata Nuklear Malaysia dalam satu kenyataan.

Agensi tersebut memaklumkan, Practical Arrangement (PA) yang ditandatangani bersama IAEA pada 27 September 2022 di Vienna, Austria membolehkan Malaysia menjadi pusat bidang pendidikan dan latihan bagi bidang radiasi, pengangkutan dan keselamatan sisa radioaktif.

“Lanjutan daripada perjanjian ini, Nuklear Malaysia telah berperanan sebagai pusat latihan serantau bagi rantau Asia Pasifik, dan bertanggungjawab dalam penganjuran kursus, pembangunan makmal dan bahan latihan serta membangunkan kepakaran dalam bidang keselamatan sinaran.

“Nuklear Malaysia amat mengalu-alukan jaringan kerjasama strategik bersama-sama negara-negara anggota IAEA bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di rantau Asia Pasifik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button