BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Nuklear Malaysia perkukuh peranan serantau dalam pengurusan kualiti pemprosesan sinaran

GEORGETOWN – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh kedudukannya sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteraskan teknologi nuklear untuk kegunaan aman di rantau Asia Pasifik menerusi penganjuran mesyuarat akhir projek IAEA/RCA RAS1028.

Projek berjudul “Improving the Quality Management Practices in Radiation Processing Facilities for Better Performance and Applications” itu berlangsung sejak 2022 dan memberi tumpuan kepada peningkatan amalan pengurusan kualiti dan sistem dosimetri bagi kemudahan pemprosesan sinaran agar menepati keperluan akta, standard dan perundangan antarabangsa.

Nuklear Malaysia
Dr. Muhammad Rawi berucap pada majlis tersebut.

Antara hasil utama projek tersebut yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) itu adalah kejayaan merapatkan jurang pembangunan industri pemprosesan sinaran antara negara-negara anggota di rantau Asia Pasifik.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, kerjasama serantau adalah penting dalam memperkukuh aplikasi teknologi nuklear bagi manfaat bersama.

“Projek ini satu bukti bahawa negara-negara Asia Pasifik mampu bekerjasama untuk meningkatkan standard kualiti dalam fasiliti pemprosesan sinaran.

“Ia bukan sahaja memastikan keselamatan dan keberkesanan operasi, tetapi turut memacu inovasi serta pertumbuhan industri berkaitan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam majlis perasmian mesyuarat tersebut di DoubleTree Resort by Hilton, di sini hari ini.

Mesyuarat itu menghimpunkan wakil daripada 14 negara anggota, termasuk Bangladesh, Kemboja, Indonesia, India, Filipina, Korea Selatan, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

Antara objektif utama ialah membentangkan aktiviti dan hasil yang dicapai sepanjang tempoh projek.

Malaysia turut diberi mandat mengetuai pembangunan dokumen senarai semak bagi keperluan pensijilan kemudahan penyinaran yang akan menjadi rujukan penting bagi penambahbaikan amalan kualiti di peringkat serantau.

Selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN 2030), Nuklear Malaysia kekal komited memperkukuh peranan teknologi nuklear sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi negara.

Fokus projek ini turut meliputi peningkatan kepakaran sumber manusia, pengukuhan sistem pengurusan dan kawalan kualiti, serta perluasan aplikasi teknologi penyinaran industri yang selamat, cekap dan menepati piawaian antarabangsa.

Dr. Muhammad Rawi turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Nuklear Malaysia sebagai Lead Country Coordinator (LCC) dalam menyelaras aktiviti projek dan kerjasama antara negara anggota.

Beliau menegaskan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai hab sains, teknologi dan inovasi serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button