BERITA SEMASADALAM NEGERI

Timbalan Menteri santuni, hulur bantuan kepada keluarga anggota Pasukan Ukur Malaysia terkorban

MIRI – Pengorbanan seorang anggota Pasukan Ukur Malaysia yang terkorban ketika menjalankan tugas negara terus dikenang apabila Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh menziarahi keluarga mendiang Donysius Gebrial Goh di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Menteri, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam lawatan tersebut sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap jasa mendiang yang berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Am Gred H1 di Miri, Sarawak.

Dalam lawatan itu, Syed Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta menzahirkan penghargaan atas pengorbanan beliau dalam melaksanakan amanah negara di kawasan yang mencabar.

“Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam serta semua agensi yang terlibat atas bantuan dan kerjasama yang diberikan sepanjang operasi mencari dan menyelamat,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, mendiang merupakan anggota daripada Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang terlibat dalam operasi penandaan serta pengukuran sempadan Malaysia–Brunei Darussalam.

Beliau dilaporkan hilang pada 17 Mac lalu selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Ulu Temburong, Brunei Darussalam.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada perubahan cuaca mendadak yang menyebabkan paras air sungai meningkat dengan cepat dan arus menjadi sangat deras.

Mangsa akhirnya ditemui pada 25 Mac lalu kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang sebelum berjaya dibawa keluar pada keesokan harinya dengan bantuan helikopter.

Susulan kejadian itu, Syed Ibrahim menegaskan komitmen Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menghulurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga mendiang selain memberikan sokongan moral secara berterusan.

Tegasnya, pengorbanan mendiang dalam menjalankan tugas demi negara akan terus dikenang dan dihargai sebagai satu jasa yang amat bermakna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button