Teknologi nuklear mampu tingkat kualiti hidup rakyat
TUMPAT – Teknologi nuklear bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, tetapi patut dihargai sebagai teknologi yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.
Demikian ucapan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal pada majlis perasmian penutup Program Satelit Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat di sini, hari ini.
“Sedar atau tidak, Agensi Nuklear Malaysia telah membangunkan dan menyediakan pelbagai produk serta perkhidmatan berasaskan teknologi nuklear yang selamat, berimpak tinggi dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Ini termasuklah dalam bidang perubatan, pertanian, industri dan alam sekitar,” kata Mohammad Yusof.
Acara itu diadakan sempena Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan yang berlangsung di Jeti Kasih Kampung Pasir Pekan Tengah dalam usaha memperkukuh dan memperkenalkan teknologi nuklear kepada masyarakat.
Menurut beliau lagi, Agensi Nuklear Malaysia turut menjalinkan kerjasama erat dengan universiti-universiti dan pihak industri termasuk pemain utama dalam bidang perubatan seperti hospital-hospital kerajaan dan swasta.
“Usaha ini bertujuan memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkualiti dan berimpak tinggi dapat diterjemahkan secara langsung kepada aplikasi sebenar serta sampai kepada pengguna akhir.
“Ia juga memastikan kepakaran dalam teknologi nuklear terus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia secara menyeluruh,” katanya.
Dengan tema ‘Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat’ ia mencerminkan komitmen terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam menyantuni rakyat dengan menekankan nilai Keilmuan, Kesejahteraan dan Keterangkuman melalui pemindahan ilmu, kemajuan sains, teknologi serta inovasi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terus kepada masyarakat.

Kampung Pasir Pekan Tengah dipilih kerana pelaksanaan projek pembangunan jeti terapung biokomposit di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Jeti terapung itu merupakan hasil inovasi penyelidik Agensi Nuklear Malaysia yang menggunakan bahan biokomposit mesra alam serta modul apungan khas dan berfungsi sebagai hub penyaluran bantuan ketika banjir, laluan operasi untuk pasukan penyelamat, tarikan pelancongan yang berlatar belakang Sungai Kelantan.
Dalam masa yang sama, program tersebut turut mengetengahkan projek pertanian berasaskan teknologi nuklear khususnya projek penanaman padi di bawah Projek Dana Penyelidikan Strategik (SRF) salah satu inisiatif pembiayaan di bawah Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) MOSTI di beberapa kawasan di Kelantan seperti Melor dan Pasir Mas yang berkeluasan 5 hektar.
Sebanyak 10 titisan padi termaju telah berjaya dihasilkan melalui projek SRF bertajuk Development and Commercialization of Climate-Resilient Rice Varieties to Increase National Yield Production.
Kejayaan itu adalah hasil daripada kerjasama dengan pelbagai agensi seperti UPM, UKM, UiTM dan lain lain pihak yang terlibat dengan industri padi.
Penumpuan kajian ialah menjurus kepada penghasilan varieti padi yang tahan kepada perubahan cuaca yang tidak menentu seperti banjir kilat dan kemarau panjang.

Hasil awal kajian juga telah mendapati bahawa ada titisan padi termaju mampu tumbuh dalam keadaan kekurangan air, matang awal, hasil tinggi dan juga tahan kepada penyakit utama tanaman padi.
Projek itu sejajar dengan usaha menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian sumber makanan negara di samping memperkasa petani dengan ilmu serta teknologi pertanian moden.
Program itu turut dimeriahkan dengan aktiviti menarik seperti perkongsian ilmu berkaitan teknologi nuklear, pertandingan memancing, mewarna canting kemerdekaan, sukan rakyat serta pameran interaktif teknologi nuklear dan pameran bergerak daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) agensi di bawah KPWKM.
Pendekatan tersebut membuktikan komitmen Nuklear Malaysia dalam menjadikan sains dan teknologi lebih inklusif, mudah diakses dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dalam merakyatkan teknologi nuklear.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








