Sekolah Angkat MADANI Nuklear Malaysia perkukuh pembangunan sosial, ekonomi sekolah luar bandar
SUNGKAI – Dalam usaha memperkukuh pembangunan sosial dan ekonomi di sekolah luar bandar, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) melaksanakan inisiatif Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kruit di sini, hari ini.
Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), program yang berteraskan nilai Malaysia MADANI itu bertujuan memperkasa komuniti pendidikan melalui pendekatan mampan, memupuk kolaborasi antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan.
Selain itu, ia turut menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup dan sistem pembelajaran di kawasan luar bandar.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan bagi menaik taraf lantai dan memasang sistem pembesar suara di dewan sekolah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“Inisiatif ini bukan sekadar penambahbaikan fizikal tetapi juga bertujuan memperkukuh ekosistem pembelajaran yang kondusif untuk pelajar dan warga sekolah.
“Ia mencerminkan komitmen Nuklear Malaysia dalam menyokong Dasar Pendidikan Negara serta Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menekankan penerapan ilmu sains dan teknologi nuklear secara bertanggungjawab, beretika dan berimpak tinggi kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
SMK Sungai Kruit dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Nuklear Malaysia kerana komitmen tinggi pihak sekolah terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain penglibatan aktif pelajar dan guru dalam pelbagai aktiviti sains serta inovasi.
Pemilihan itu juga mencerminkan usaha berterusan Nuklear Malaysia memperluas akses pendidikan STEM di luar bandar sekali gus menjadikan sekolah tersebut sebagai pusat rujukan komuniti dalam bidang sains dan inovasi sosial.
Tambah beliau, pelaksanaan program itu juga selaras dengan aspirasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi.
“Di samping itu, ia turut mendukung agenda Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan insan melalui pendidikan yang inklusif dan berasaskan sains,” ujarnya.
Pada majlis sama, Nuklear Malaysia turut melancarkan Karnival STEM yang menghimpunkan lebih 500 pelajar dari daerah Sungkai, Muallim, Batang Padang dan Kinta Selatan.

Karnival itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang STEM bagi melahirkan generasi celik sains, berfikiran kritikal dan berinovasi tinggi yang mampu menyokong pembangunan negara berasaskan sains dan teknologi.
Antara pengisian menarik termasuk pameran robotik dan pertandingan STEM Explorace yang disertai oleh pelajar daripada pelbagai sekolah sekitar.
Sejak penubuhannya pada tahun 1972, Nuklear Malaysia aktif melaksanakan pelbagai program jangkau luar bagi meningkatkan kesedaran awam tentang sains dan teknologi nuklear melalui tiga inisiatif utama iaitu Program NEO@Schools, Nuclear Nexus@Community dan Explore@Nuclear.
“Melalui pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI dan Karnival STEM ini, Nuklear Malaysia berharap dapat memperkukuh pengetahuan dalam bidang STEM dan nuklear di peringkat akar umbi seiring dengan usaha kerajaan memperkasakan pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat di bawah gagasan Malaysia MADANI,” kata Dr Muhammad Rawi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








