Malaysia perkukuh komitmen terhadap teknologi nuklear untuk kegunaan aman
KUALA LUMPUR – Komitmen negara dalam teknologi nuklear secara aman terus diperkukuh melalui Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030.
Menurut Agensi Nuklear Malaysia dalam satu kenyataan, komitmen itu yang menjadi hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi adalah untuk memastikan pembangunan teknologi nuklear di Malaysia dilaksanakan secara aman, selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Komitmen ini diterjemahkan melalui pelaksanaan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty, CTBT) yang ditandatangani Malaysia pada 23 Julai 1998 dan meratifikasinya pada 17 Januari 2008.
“Sejak itu, Nuklear Malaysia selaku Pihak Berkuasa Kebangsaan CTBT mengendalikan dua kemudahan utama dibawah rangka kerja CTBT Organization (CTBTO) iaitu dalam rantaian Stesen Pemantauan Radionuklid RN42 di Cameron Highlands dan Pusat Data Kebangsaan CTBT (MY-NDC) di Nuklear Malaysia, Bangi,” katanya hari ini.
Katanya, kedua-dua kemudahan itu berperanan untuk memantau atau mengesan radionuklid yang terhasil daripada letupan nuklear global.
“Pusat data juga berperanan membekalkan maklumat seismik, infrasound dan hydroacoustic untuk kegunaan saintifik dan awam termasuk menyokong Sistem Amaran Awal Tsunami Kebangsaan.
“Usaha ini memperkukuh peranan Malaysia dalam memastikan kemudahan yang ada menyumbang kepada keselamatan awam, penyelidikan saintifik dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu katanya, penglibatan aktif Malaysia diiktiraf Suruhanjaya Persediaan CTBTO melalui lawatan rasmi Setiausaha Eksekutif CTBTO, Dr. Robert Floyd ke Malaysia pada 13 hingga 18 Ogos lalu.
“Lawatan ini merangkumi kunjungan ke Stesen Pemantauan Radionuklid RN42, Pusat Data Kebangsaan CTBT (MY-NDC) dan pertemuan dengan Pengurusan Tertinggi Kementerian Sians, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membincangkan kerjasama bagi memperkukuh kapasiti teknologi CTBT di Malaysia.
“Selain itu, Dr. Robert turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Luar bagi membincangkan peranan CTBT selaras dengan pendirian Malaysia terhadap pelucutan senjata nuklear, keamanan serantau dan global serta keutamaan memastikan teknologi nuklear digunakan hanya untuk tujuan aman, selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Bersempena lawatan itu, Nuklear Malaysia turut menganjurkan Kolokium Kebangsaan CTBT untuk memberi pendedahan kepada pemegang taruh, institusi penyelidikan dan universiti mengenai manfaat data CTBT bagi keselamatan, penyelidikan saintifik dan kesejahteraan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






