BERITA SEMASA

Integriti bahan, struktur perlu jadi agenda utama pembangunan infrastruktur negara – KP Agensi Nuklear

KUALA LUMPUR – Integriti bahan dan struktur perlu dijadikan agenda utama dalam pembangunan infrastruktur negara bagi memastikan keselamatan pengguna, kesejahteraan rakyat serta kelestarian pembangunan negara.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, dunia kini berdepan landskap pembangunan yang semakin kompleks susulan perubahan iklim, perkembangan geopolitik, revolusi perindustrian yang pesat serta peningkatan keperluan kepada peralihan tenaga bersih bagi memenuhi permintaan tenaga pada masa hadapan.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur awam dan industri tidak lagi boleh hanya memberi tumpuan kepada kekuatan serta reka bentuk fizikal yang menarik, sebaliknya perlu mengutamakan elemen daya tahan, kecekapan tenaga, keselamatan dan kelestarian.

“Integriti bahan dan struktur merupakan asas kepada kesejahteraan dan keyakinan masyarakat kerana jalan raya, jambatan, empangan, lapangan terbang, sistem rel, bangunan serta pelbagai kemudahan awam yang selamat bergantung kepada keutuhan bahan dan struktur yang digunakan sepanjang jangka hayat binaan tersebut.

“Integriti bahan dan struktur bukan lagi sekadar memenuhi keperluan teknikal, malah perlu dijadikan agenda utama oleh semua pihak yang terlibat dalam reka bentuk dan pembinaan. Keutamaan ini penting bagi memastikan keselamatan pengguna dan infrastruktur, menjamin kesejahteraan rakyat serta menghasilkan reka bentuk yang berkualiti dan menarik demi menyokong pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Seminar Kebangsaan Integriti Bahan dan Struktur (SMSI) 2026 kali ke-10 di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa sektor ekonomi utama negara seperti tenaga, minyak dan gas, petrokimia, aeroangkasa, automobil dan penerbangan perlu sentiasa berada pada tahap integriti struktur yang maksimum.

Katanya, matlamat tersebut hanya dapat dicapai melalui pematuhan kepada piawaian antarabangsa dan kebangsaan, penggunaan bahan berkualiti tinggi serta pelaksanaan sistem pengurusan projek dan aset yang mantap.

Sementara itu Muhamad Rawi berkata, dalam konteks teknologi nuklear, setiap komponen kejuruteraan kritikal perlu memenuhi spesifikasi Nuclear-Grade mengikut piawaian antarabangsa seperti ASTM Nuclear Technology Standard, ASME NQA-1, ASME Section III dan garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi memastikan tiada kompromi terhadap aspek keselamatan.

Muhammad Rawi turut menekankan bahawa pembangunan ekosistem integriti bahan dan struktur perlu disokong oleh modal insan berkemahiran tinggi serta kerjasama erat antara kerajaan, institusi akademik dan industri menerusi pendekatan Triple Helix bagi mempercepat pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Sempena ulang tahun penganjurannya yang ke-10, SMSI 2026 menampilkan pelbagai pengisian termasuk syarahan utama, forum industri, pembentangan teknikal dan pameran teknologi yang memberi fokus kepada inovasi dalam sains bahan, integriti struktur, teknologi pemeriksaan serta keselamatan fizikal, radiasi dan nuklear.

Penganjuran seminar itu selari dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dalam memperkukuh keupayaan sains, teknologi dan inovasi nuklear untuk menyokong pembangunan sosioekonomi secara mampan serta meningkatkan penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab.

SMSI 2026 turut mendapat sokongan Jabatan Tenaga Atom, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pembangunan Kemahiran serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat negara dan meningkatkan daya saing industri sejajar aspirasi Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button