Ahli Demokrat desak polisi ‘berdiam diri’ mengenai keupayaan nuklear Israel ditamatkan
WASHINGTON – Sekumpulan ahli Parti Demokrat dalam Kongres Amerika Syarikat (AS) mendesak Jabatan Negara supaya menamatkan polisi ‘berdiam diri’ berhubung keupayaan nuklear Israel.
Dalam surat bertarikh 4 Mei yang dihantar kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio itu, seramai 30 ahli Demokrat yang tidak dinamakan secara individu menyatakan perang antara AS dan Israel terhadap Iran sebagai sebab mengapa penjelasan lebih jelas amat diperlukan, lapor Al-Jazeera.
Surat tersebut turut meminta Rubio menjelaskan keupayaan senjata nuklear Israel, termasuk maklumat jelas mengenai kepala peledak dan sistem pelancarnya.
Pada masa yang sama, mereka turut memberi tumpuan khusus kepada Pusat Penyelidikan Nuklear Negev di Dimona yang sejak sekian lama dipercayai menjadi teras program nuklear Israel.
“Adakah Israel ketika ini memiliki keupayaan pengayaan uranium, dan pada tahap mana?” soal mereka, sambil meminta perincian mengenai bahan fisil dan pengeluaran plutonium.
Surat itu turut bertanya sama ada Israel, yang bukan penandatangan Perjanjian Pencegahan Percambahan Senjata Nuklear (NPT), pernah menyatakan kepada AS sebarang “doktrin nuklear, garis merah atau ambang penggunaan senjata nuklear dalam konteks konflik semasa dengan Iran?”
“Adakah pentadbiran menerima sebarang jaminan daripada Israel bahawa senjata nuklear tidak akan digunakan?
“Adakah terdapat sebarang petunjuk bahawa Israel merancang menggunakan atau mengerahkan senjata nuklear semasa konflik terbaru dengan Iran atau dalam konflik lain?” menurut surat yang ditandatangani 30 ahli Kongres itu.
Israel dipercayai memiliki senjata nuklear sejak tahun 1960-an, namun negara itu masih mengekalkan “dasar ketidakjelasan nuklear, tanpa pernah secara rasmi mengesahkan kewujudan program dan senjata nuklearnya”, menurut Nuclear Threat Initiative yang berpangkalan di Washington, DC.
Rumah Putih juga sejak sekian lama mengekalkan pendirian samar mengenai isu berkenaan walaupun terdapat beberapa pengakuan tidak langsung.
Susulan itu, ahli Kongres melancarkan beberapa usaha awam secara tersusun bagi menuntut ketelusan lebih besar di tengah-tengah sokongan dwipartisan terhadap Israel yang berlarutan selama beberapa dekad.
“Kongres mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk dimaklumkan sepenuhnya mengenai keseimbangan nuklear di Asia Barat, risiko peningkatan konflik oleh mana-mana pihak, serta perancangan dan langkah kontingensi pentadbiran bagi senario sedemikian.
“Kami percaya maklumat tersebut belum diberikan kepada kami.
“Dasar ketidakjelasan rasmi mengenai keupayaan nuklear salah satu pihak dalam konflik ini menjadikan dasar pencegahan percambahan senjata nuklear di Asia Barat mustahil dilaksanakan secara berkesan,” kata surat itu lagi.
Nuclear Threat Initiative menganggarkan Israel memiliki 90 kepala peledak nuklear, stok plutonium antara 750 hingga 1,110 kilogram, enam kapal selam yang mampu melancarkan senjata nuklear serta peluru berpandu balistik jarak sederhana yang mampu mencapai jarak 4,800 hingga 6,500 kilometer.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








