BERITA SEMASA

MOSTI buka pencalonan Anugerah Saintis Muda Negara 2025

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus mengiktiraf sumbangan serta kecemerlangan saintis muda menerusi penganjuran Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2025 yang kini dibuka untuk pencalonan hingga 29 Ogos ini.

Menurut kenyataan MOSTI penganjuran ASMN 2025 menjadi platform penting dalam menyerlahkan potensi serta kreativiti saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains, teknologi dan inovasi (STI) di Malaysia.

Pencalonan terbuka kepada warganegara Malaysia berusia bawah 40 tahun yang sedang menjalankan projek R&D di pusat penyelidikan atau institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara.

“Pencalonan perlu relevan serta memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan industri, masyarakat atau negara.

“Calon juga perlu mempunyai kreativiti, inovasi dan kompetensi yang tinggi sebagai seorang penyelidik berkaliber,” menurut kenyataan itu hari ini.

MOSTI memaklumkan, pihaknya turut menyemak semula kriteria pencalonan tahun ini supaya selaras dengan keperluan semasa dan mampu menarik lebih banyak penyertaan daripada institusi penyelidikan serta syarikat swasta yang melaksanakan R&D dalam bidang STI.

Setiap penerima anugerah akan menerima wang tunai RM20,000, plak, sijil dan geran penyelidikan sehingga RM1 juta yang tertakluk kepada syarat serta kelulusan Jawatankuasa Dana MOSTI.

“Penganjuran anugerah ini merupakan langkah strategik bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran masa hadapan dan pada masa sama, mengetengahkan penyelidikan berimpak tinggi yang mampu menyelesaikan pelbagai isu kehidupan rakyat,” jelas kenyataan itu.

ASMN yang diperkenalkan sejak tahun 1985 dilihat memainkan peranan penting dalam usaha melahirkan lebih ramai saintis muda tempatan yang kreatif, inovatif serta berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

MOSTI turut menyifatkan anugerah tersebut sebagai manifestasi kepada komitmen kementerian dalam merealisasikan slogan ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi’.

Tahun lalu, sebanyak lima kategori baharu telah diperkenalkan di bawah ASMN dengan 45 pencalonan yang layak dinilai meliputi dua dalam bidang fizik, masing-masing lapan bagi bidang kimia dan biologi, 10 dalam bidang perubatan serta 17 dalam kejuruteraan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button