Kor Ming seru pembangkang jalin kerjasama dengan kerajaan hadapi krisis perdagangan AS-China
KUALA LUMPUR — Parti pembangkang diseru supaya menjalin kerjasama dengan kerajaan dalam menghadapi krisis perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China demi kelangsungan ekonomi negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata cabaran yang timbul akibat krisis perdagangan itu memerlukan pendekatan ‘whole of nation’ yang inklusif dan proaktif.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan cabaran itu tidak boleh ditangani oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat.
“Dalam menghadapi landskap ekonomi global yang penuh dengan ketidaktentuan dan cabaran, kita perlu bersepakat dan bertindak secara kolektif demi memastikan kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kor Ming menambah, beliau turut menyambut baik ikhtiar dan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Khas Parlimen berkaitan tarif timbal balik import AS terhadap Malaysia.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengambil pendekatan yang inovatif, inklusif dan proaktif.
“Pihak kementerian berazam memberikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha menjalin hubungan serantau seperti melalui persidangan ASEAN,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming memaklumkan KPKT akan menganjurkan Persidangan Hartanah ASEAN (ASEAN Real Estate Conference) pada 23 hingga 26 Julai 2025.
Selain itu, KPKT turut akan menganjurkan Forum Perbandaran Mampan ASEAN (ASEAN Sustainable Urbanisation Forum), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (ASEAN Governors and Mayors Forum), serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals) dari 10 hingga 15 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Tambahan pula, Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN ke-8 (8th ASEAN Smart Cities Network Annual Meeting) juga akan berlangsung pada 8 hingga 12 September ini di Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








