BERITA SEMASA

PM jawab kritikan pembangkang isu kos LRT Pulau Pinang

GEORGETOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan peningkatan kos projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang berpunca daripada peluasan jajaran merentasi laut ke Seberang Perai, bukan disebabkan kelemahan pengurusan seperti didakwa pembangkang.

Anwar berkata, dakwaan sesetengah ahli Parlimen pembangkang bahawa projek itu terlalu mahal menunjukkan mereka tidak mengikuti perkembangan semasa dan hanya cuba menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Ada ahli Parlimen pembangkang yang tanya mengapa kos terlalu tinggi dan mengapa harga bertambah.

“Saya nak jelaskan sebab projek ini bukan lagi hanya di pulau, tetapi akan menyeberang ke Seberang Perai. Itu usul saya sendiri,” katanya ketika berucap pada satu majlis sempena lawatan kerja rasmi ke Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata, keputusan menambah jajaran projek itu dibuat bagi memastikan pembangunan di Pulau Pinang tidak hanya tertumpu kepada kawasan pulau, sebaliknya turut memberi manfaat kepada penduduk di tanah besar.

“Saya anak Pulau Pinang yang dibesarkan di Seberang Perai. Saya tak mahu projek ini tersekat di pulau sahaja. Kalau tidak, nanti pembangkang pula kata kita jaga pulau, jaga kepentingan Cina, tapi tak jaga Seberang Perai dan Melayu,” katanya lagi.

Anwar turut menyindir beberapa pemimpin pembangkang yang menurutnya enggan menerima penjelasan walaupun fakta telah diberikan.

“Bila kita bagi penjelasan pun mereka tak mahu dengar. Dalam Parlimen pun kadang-kadang seperti ‘dialog with the deaf’. Mereka lebih suka main persepsi politik daripada memahami dasar sebenar,” katanya lagi.

Anwar turut berkata, projek LRT Pulau Pinang merupakan keperluan penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri itu yang kini menunjukkan prestasi pelaburan memberangsangkan.

“Pulau Pinang antara negeri yang menunjukkan prestasi pelaburan dan pertumbuhan membanggakan. Jadi, siapa yang kata projek ini tak penting, itu orang luar atau yang tak tahu perkembangan,” katanya lagi.

Pelaksanaan projek itu akan memastikan keseimbangan pembangunan antara pulau dan tanah besar, sekali gus menangkis persepsi bahawa kerajaan hanya memberi tumpuan kepada kawasan tertentu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button