KBS ucap tahniah kepada Taufiq, hargai sumbangan Hannah
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan ucapan tahniah serta selamat datang kepada kepimpinan baharu kementerian itu susulan pengumuman pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Menurut KBS, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, manakala Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi anak Bimol diumumkan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
“Dr. Mohammed Taufiq mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perubatan dari Universiti Islam Bandung, sementara Mordi pula memiliki kelulusan Ijazah dalam Sains Akuatik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” menurut KBS dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, KBS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hannah Yeoh yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 3 Disember 2022 atas sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Menurut KBS, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di bawah kepimpinan Hannah Yeoh, termasuk usaha memperkukuh dasar belia negara, pembangunan sukan berprestasi tinggi, kebajikan atlet serta penambahbaikan tadbir urus kementerian,” katanya.
KBS turut menzahirkan penghargaan kepada Adam Adli Abd Halim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada 10 Disember 2022, khususnya atas peranan beliau dalam memperkukuh ekosistem pembangunan belia serta meningkatkan penglibatan belia di peringkat akar umbi.
“KBS menegaskan komitmen penuh kementerian untuk terus bekerjasama secara profesional dan bersepadu dengan kepimpinan baharu dalam meneruskan agenda pembangunan belia dan sukan negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








