BERITA SEMASASUKAN

LTdL 2026: Senarai pasukan antarabangsa dimuktamad selepas perbincangan KBS, MSN – PKBM

KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan memuktamadkan senarai pasukan antarabangsa yang bakal dijemput bagi menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, perkara itu akan dimuktamadkan selepas perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) selesai diadakan.

Beliau berkata, kelulusan Jemaah Menteri sebelum ini terhadap penganjuran LTdL 2026 disifatkan sebagai pemangkin penting untuk menggerakkan segera segala persiapan bagi memastikan perlumbaan berprestij itu berlangsung lancar.

Menurutnya, tempoh yang berbaki ketika ini memerlukan semua pihak bertindak pantas bagi memastikan setiap aspek persiapan dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Dengan hanya berbaki enam bulan sebelum perlumbaan bermula, segala persiapan perlu digerakkan segera bagi memastikan LTdL 2026 berjalan lancar dan mencapai standard tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca juga : LTdL di bawah KBS selama tiga tahun, kos RM12 juta tahun ini – Taufiq

Perlumbaan berkenaan dijadual berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PKBM akan terus memberi sokongan penuh serta bekerjasama rapat dengan KBS dan MSN bagi memastikan kelancaran penganjuran LTdL sehingga tahun 2028.

Katanya, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini sejak MSN mengambil alih penganjuran pada 2023, kejohanan itu telah dianjurkan dengan baik, malah edisi 2025 disifatkan sebagai hampir sempurna.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dilaporkan berkata, KBS memperoleh kelulusan Jemaah Menteri untuk menjadi penganjur LTdL bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Menurut beliau, bagi edisi 2026, perlumbaan tersebut dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM12 juta yang dipohon menerusi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), selain usaha akan dipergiat untuk mendapatkan tajaan tambahan.

Sementara itu, Amarjit turut merakamkan penghargaan atas keputusan Jemaah Menteri tersebut yang dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan LTdL.

“LTdL bukan sekadar perlumbaan berbasikal, tetapi merupakan projek nasional yang membawa impak besar kepada imej serta pembangunan sukan negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button