BERITA SEMASA

KBS perkasa kesukarelawanan belia menerusi Akademi MyCorps

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus komited memperkasa agenda kesukarelawanan dan pembangunan komuniti belia menerusi pelaksanaan Program Akademi MyCorps: Borneo 2025/2026.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol

Majlis penutupan program berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol di Menara KBS, di sini hari ini.

KBS berkata, program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) itu melibatkan penyertaan 40 orang belia daripada pelbagai latar belakang dari Sabah dan Sarawak, yang dilaksanakan bermula 15 hingga 28 Januari 2026.

“Program bertemakan “Changing Lives” itu memberi latihan intensif kesukarelawanan serta pendedahan praktikal kepada peserta dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan.

“Para peserta ditempatkan di beberapa lokasi terpilih iaitu Tumpat, Kelantan; Muar, Johor dan Sungai Petani, Kedah, melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KBS turut berkata, objektif utama pelaksanaan Akademi MyCorps: Borneo adalah bagi melahirkan sukarelawan belia yang berkemahiran, berwibawa dan prihatin, selain mengukuhkan hubungan antara belia dan komuniti setempat khususnya di kawasan luar bandar serta dalam kalangan belia tidak berpersatuan.

Selain itu, program tersebut turut menyumbang kepada pengukuhan kerjasama strategik antara kerajaan, NGO dan komuniti selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Pendekatan berasaskan hasil turut digunakan bagi memastikan pelaksanaan projek komuniti dapat dilaksanakan secara pantas, kos efektif dan memberi impak tinggi kepada masyarakat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, KBS memaklumkan inisiatif MyCorps akan diperluaskan ke peringkat antarabangsa pada tahun 2026 menerusi pelaksanaan Program MyCorps @ Timor Leste, yang dibuka kepada belia berumur 30 tahun dan ke bawah.

Langkah itu bertujuan memperluaskan pengalaman kesukarelawanan belia Malaysia di peringkat global, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia MADANI melalui pembangunan belia yang berdaya saing, prihatin dan bertanggungjawab.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Akademi MyCorps: Borneo 2025/2026 boleh menghubungi 03-8871 3748 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button