JITRA – Perikatan Nasional (PN) Kedah malam tadi melancarkan manifestonya sebagai tawaran jika terus diberi mandat Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
Manifesto yang mengandungi 17 perkara itu dilancarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sewaktu Program Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra, dekat sini.
Antara tawaran dalam manifesto tersebut adalah menyediakan 100,000 peluang pekerjaan berdaya saing dalam tempoh 30 tahun melalui pelaburan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuklah projek yang dirancang seperti di Bandar Raya Getah Kedah (KRC), Kedah Aerotropolis, dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
PN turut menggariskan hasrat membina dan menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik melalui inisiatif kerajaan dan swasta untuk pembeli rumah pertama dengan sasaran jumlah 15,000 rumah menjelang 2030.
Dalam memastikan setiap rakyat memiliki rumah kediaman, PN turut menawarkan menyediakan lot tanah kediaman mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah serta meneruskan proses kelulusan permohonan hak milik tanah yang tertunggak sejak sekian lama.
Selain itu, gabungan itu juga berazam memastikan komitmen pelaburan domestik dan antarabangsa dengan pelbagai projek berimpak tinggi dengan sasaran RM10 bilion setahun seperti digariskan dalam Pelan Kedah 2035.
Jika terus diberikan mandat, PN Kedah mahu terus memperteguhkaan tadbir urus negeri yang profesional dan berintegriti, dengan menekankan keadilan serta kesejahteraan semua kaum selain mempertahankan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ucapannya berkata, tawaran PN Kedah itu adalah kesinambungan daripada pentadbirannya selama tiga tahun sebelum Ini.
Menurutnya, manifesto tersebut akan menjadi landasan untuk terus menjayakan ‘The Greater Kedah’, selaras dengan Kedah sebagai tempat orang miskin berteduh dan tempat orang kaya berbakti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







