BERITA SEMASA

DPIM Business Excellence Awards 2026 rai kecemerlangan industri, kepimpinan Islam

SHAH ALAM – Dewan Perdagangan Islam Malaysia Putrajaya (DPIM Putrajaya) meraikan kecemerlangan organisasi, kepimpinan dan tanggungjawab sosial menerusi penganjuran DPIM Business Excellence Awards 2026 yang berlangsung bersempena Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ) Charity Hijrah Concert 2026.

Majlis itu yang berlangsung di Dewan Ibnu Al-Jazari SAMTTAJ di sini diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada organisasi dan tokoh yang telah memberi sumbangan signifikan dalam pembangunan ekonomi, keusahawanan, inovasi teknologi, peningkatan produktiviti serta pembangunan masyarakat.

Antara penerima anugerah ialah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menerima DPIM Islamic Financial Excellence Award 2026, Malaysia Productivity Corporation (MPC) menerima DPIM Productivity Transformation Excellence Award 2026, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menerima DPIM Entrepreneurship Impact Award 2026, manakala Ascentum AI menerima DPIM AI Innovation Excellence Award 2026.

Turut menerima pengiktirafan ialah Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) yang membawa pulang DPIM Business Excellence Award 2026 dan DPIM Community Impact Award 2026 atas sumbangan dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Mufti Johor,
Datuk Ahmad Faisal Mohamed dianugerahkan DPIM Distinguished Islamic Leadership Award 2026 sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam bidang kepimpinan serta pembangunan Islam.

Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, penganjuran anugerah itu bertujuan mengiktiraf organisasi dan individu yang menunjukkan pencapaian cemerlang serta memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

“DPIM percaya kecemerlangan perlu diraikan dan dijadikan inspirasi kepada lebih ramai usahawan, organisasi serta pemimpin masyarakat untuk terus menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara,” katanya.

Dpim
Wakil Malaysia Productivity Corporation (MPC) menerima DPIM Productivity Transformation Excellence Award 2026 sempena DPIM Business Excellence Awards 2026 di Dewan Ibnu Al-Jazari, SAMTTAJ, Shah Alam.

Program yang berlangsung serentak dengan SAMTTAJ Charity Hijrah Concert 2026 itu turut menghimpunkan pemimpin industri, usahawan, agensi kerajaan, institusi kewangan, alumni serta komuniti setempat dalam suasana penuh penghargaan dan semangat kebersamaan.

Sementara itu katanya, konsert amal itu juga diadakan bagi mengumpul dana membina sebuah dataran berbumbung terbuka SAMTTAJ.

Muhammad Khanafi berkata, penganjuran konsert itu antara inisiatif yang dilakukan oleh pihaknya bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi mengumpulkan dana keseluruhan diperlukan sebanyak RM350,000.

“Sehingga kini, dana terkumpul adalah sebanyak RM150,000 yang sebahagiannya berjaya kita kutip melalui konsert amal, sumbangan korporat serta penyaluran dana daripada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) berjumlah RM50,000.

“Menerusi konsert amal, sekitar 800 tiket bernilai RM119 terjual dan kita menampilkan kumpulan-kumpulan nasyid terkemuka seperti Hijjaz, Inteam, The Rayhan, Qathrunnada dan penampilan istimewa oleh adik Nur Muhammad,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button