BERITA SEMASAPMX

Malaysia kekal dasar luar bebas, tidak berpihak – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus mengekalkan dasar luar yang bebas, proaktif dan tidak berpihak dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik serta geoekonomi global yang semakin kompleks.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan tersebut merupakan strategi yang disengajakan dan diperhitungkan, berasaskan realiti sejarah, kedudukan semasa serta keperluan negara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang semakin bersifat transaksional.

“Pertama sekali, dasar luar Malaysia akan terus kekal bebas dan sangat bebas, proaktif serta tidak berpihak.

“Ini bukan sekadar berpaut kepada masa lalu, tetapi satu pendekatan yang mengambil kira siapa kita, dari mana kita datang dan apa yang telah memberi manfaat kepada kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) Ke-39, di sini hari ini.

Menurut beliau, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendirian, membina hubungan serta menyokong inisiatif yang selaras dengan nilai, kepercayaan dan kepentingan negara.

Katanya, Malaysia juga tidak boleh mengambil sikap berkecuali dalam isu-isu yang melibatkan hak asasi manusia termasuk perjuangan rakyat Palestin dan usaha menentang Islamofobia, selain isu berkaitan kepentingan teras negara seperti kedaulatan wilayah.

“Ini termasuk ketika berurusan dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendirian berasaskan prinsip, namun bukan berpihak kepada mana-mana blok kuasa.

“Kita mengambil pendirian berasaskan prinsip, tetapi bukan memihak. Ini termasuk sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penyelesaian aman dalam pertikaian berdasarkan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa penggunaan kekerasan atau paksaan sama ada berbentuk ketenteraan mahupun ekonomi hanya akan menambah ketegangan serta membawa kesan tidak diingini kepada masyarakat antarabangsa.

Menurut beliau, prinsip seperti kebebasan pelayaran, penghormatan terhadap kedaulatan negara serta pematuhan kepada kerangka undang-undang antarabangsa perlu terus dipertahankan bagi menjamin kestabilan serantau dan global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button