BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Hari Usahawan Negara: Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta sedia 300 lot niaga

KUALA LUMPUR – Sebanyak 300 lot niaga disediakan dalam penganjuran sulung festival makanan dan gaya hidup terbesar Lembah Klang, Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025, sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025.

Festival anjuran Raydiates Blue Sdn. Bhd. (Raydiates) bersama Foodie Media (KL Foodie) akan berlangsung dengan pelbagai aktiviti dan jualan bermula 12 September ini selama lima hari di perkarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penganjur Bersama yang juga Pengarah Urusan, Raydiates, Rayme Zainal berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan vendor makanan, minuman, fesyen, kraf dan produk gaya hidup untuk menyertai festival itu.

Menurut beliau, lot niaga adalah terhad mengikut kategori dan akan dibuka untuk jualan kepada peserta atau usahawan yang mendaftar awal.

“Anjung Malaysiaku X Foodie Fiesta 2025 bukan sekadar festival makanan, ia adalah platform untuk mengangkat usahawan tempatan, mempromosikan budaya Malaysia.

“Selain itu, ia juga mampu merapatkan jurang antara komuniti perniagaan dan masyarakat bersempenan sambutan Hari Malaysia dengan sokongan dari Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC),” katanya dalam satu kenyataan.

Baca juga : Bazar Aidilfitri Anjung Syawal rekodkan sejuta pengunjung, jualan peniaga cecah RM100,000

Mengulas lanjut, Rayme berkata, kerjasama strategik dengan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) bersempena Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 memberikan nilai tambah kepada festival itu.

“Ia kerana festival berkenaan akan menghubungkan terus peserta dengan peluang perniagaan, jaringan usahawan dan akses pasaran yang lebih luas,” katanya.

Hari Usahawan
Rayme Zainal (kiri) dan Pinn Yang merupakan penganjur bersama Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025.

Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta dianjurkan Raydiates dan KL Foodie milik pempengaruh terkenal, Pinn Yang dengan kerjasama DPUM bagi menyokong HUN yang merupakan platform mega menghimpunkan ribuan usahawan, inovator, dan pemain industri dari pelbagai latar belakang, bidang dan skala perniagaan.

Dengan tema Usahawan Nadi Negara, HUN 2025 bukan sahaja medan perniagaan malah menjadi pengalaman lengkap yang mempamerkan keindahan dan kepelbagaian Malaysia kepada dunia menerusi pelbagai aktiviti.

Antaranya pameran perniagaan tempatan dan antarabangsa, forum dan perkongsian bersama ikon industri, pertandingan inovasi dan pitching pelaburan serta jaringan perniagaan.

Mengulas lanjut, Rayme berkata, penganjur akan mengadakan sesi Live Podcast bersama figura terkenal tanahair, aktivititi demo masakan dan penglibatan pempengaruh antara tarikan utama bagi menarik pengunjung memandangkan tarikh festival merupakan cuti panjang hujung minggu selama empat hari.

Hari Usahawan
Festival makanan dan gaya hidup terbesar di Lembah Klang iaitu Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025 julung kali diadakan sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025.

Menurut beliau, ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan 15 September ini sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia.

“Namun orang ramai tidak perlu bimbang kerana selain terdapat kemudahan stesen LRT untuk ke sana, terdapat banyak tapak parkir kenderaan disediakan di sekitar kawasan bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung,” katanya.

Rayme menambah, maklumat pakej lot niaga dan pendaftaran boleh didapati melalui saluran media sosial festival itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian +6011-11433286, +6013-5086807 atau +6012-5518189.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button