AGAMABERITA SEMASA

Jakim, KDN tekad perangi ekstremisme dalam kalangan pekerja asing – Mohd Naim

KOTA BHARU – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memerangi penyebaran fahaman ekstrem dan radikal dalam kalangan pekerja asing di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Naim Mokhtar berkata, meskipun tidak semua pekerja asing terlibat dalam fahaman seperti itu, tindakan pencegahan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan pengaruhnya menular.

“Isu melibatkan kumpulan seperti IS (Daish) berkait dengan fahaman ekstremisme dan radikalisme.

“Saya pernah nyatakan sebelum ini, walaupun tidak semestinya melibatkan pekerja asing secara menyeluruh, peranan agensi agama khususnya Jakim amat penting untuk membendung ideologi ini,” katanya selepas menghadiri Program Rai Ummah di sini, malam tadi.

Menurut Mohd Naim, kerajaan sentiasa mengamalkan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan dan menolak sebarang ajaran melampau yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam sebenar.

“Kita menentang ideologi yang mengajak kepada perbuatan ekstrem yang tidak diajar dalam Islam.

“Saya telah arahkan Jakim dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk memperhebat usaha menangani pengaruh ini, khususnya dalam kalangan pekerja asing,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerjasama berterusan antara agensi agama dan KDN akan diteruskan bagi memastikan fahaman yang berbahaya ini tidak menular dalam masyarakat.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail baru-baru ini mendedahkan kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang dipercayai terlibat dalam pengumpulan dana dan merekrut ahli bagi menyokong kumpulan pengganas IS di Syria dan Bangladesh.

Hasil siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan mengutip dana melalui yuran keahlian tahunan sebanyak RM500 seorang serta menerima sumbangan tambahan bergantung kepada kemampuan ahli.

Kumpulan itu dianggarkan mempunyai antara 100 hingga 150 ahli terdiri daripada warga Bangladesh yang bekerja dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan stesen minyak di negara ini.

Pada 27 Jun lalu, PDRM menahan 36 warga Bangladesh dalam operasi bersepadu selama tiga fasa bermula 24 April lalu di sekitar Selangor dan Johor kerana disyaki terlibat secara langsung dengan gerakan militan radikal yang membawa fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti jaringan kumpulan terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button