JENAYAH & MAHKAMAH

Penemuan mayat wanita dalam MPV: 9 suspek termasuk seorang wanita direman

IPOH – Sembilan individu termasuk seorang wanita direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bersama insiden seorang anggota polis ditikam dan ditembak di Simpang Pulai, awal pagi semalam.

Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah selepas kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi permohonan reman kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Menurut sumber, wanita terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala lapan suspek lelaki pula disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana percubaan membunuh.

Terdahulu, sembilan suspek berkenaan dilihat dibawa masuk ke kamar mahkamah sebelum keluar semula dalam keadaan bergari selepas kira-kira setengah jam prosiding berlangsung.

Semalam, polis mengesahkan enam individu termasuk seorang wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan ditahan bagi membantu siasatan.

Mangsa yang ditemukan dalam kenderaan itu dikenal pasti sebagai seorang wanita tempatan berusia 62 tahun yang disahkan meninggal dunia akibat kelemasan atau kekurangan oksigen.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi semalam, seorang anggota polis berpangkat konstabel berusia 26 tahun cedera dipercayai akibat ditikam dan ditembak oleh seorang lelaki ketika cuba menahan sebuah MPV yang dipandu secara mencurigakan di kawasan Taman Desa Pakatan.

Suspek bertindak melarikan diri bersama sepucuk pistol yang dirampas daripada anggota polis terbabit, sebelum meninggalkan MPV itu dengan mayat wanita berkenaan di bahagian tempat duduk belakang.

Polis kini sedang giat mengesan lelaki terbabit yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button