Pengiktirafan sijil halal JAKIM lonjak jualan pastri tradisional Cina, Tau Sar Piah
KUALA LUMPUR – Pemilihan pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) ternyata menjadi langkah strategik yang berjaya melonjakkan jualan dan memperluas pasaran produk keluaran sebuah syarikat tempatan komuniti Cina di Muar, Johor.
Berpangkalan di Muar syarikat yang ditubuhkan sejak tahun 1988 itu terkenal dengan produk utama mereka, Tau Sar Piah iaitu pastri tradisional Cina berinti kacang hijau masin yang dihasilkan menggunakan resepi turun-temurun dan teknik buatan tangan, namun kekal relevan dengan citarasa moden.
Pengarah syarikat Huat Huat Kouping, Tee Choo Ling berkata, pengiktirafan halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna beragama Islam, malah membuka ruang kepada lebih ramai pelanggan daripada pelbagai kaum untuk menikmati keenakan pastri tradisional tersebut.
Menurutnya, selain pensijilan halal, Huat Huat Kouping turut memperoleh pensijilan MeSTI dan kini sedang dalam proses mendapatkan pensijilan HACCP bagi memastikan piawaian keselamatan serta kualiti makanan sentiasa terjamin.
Katanya, syarikat itu berpegang teguh kepada nilai teras seperti integriti, hormat, bersyukur, bertanggungjawab, proaktif dan inovatif yang menjadi asas dalam melahirkan budaya kerja positif dan menghasilkan produk berkualiti tinggi.
“Kejayaan Huat Huat Kouping semakin terserlah apabila mereka mencipta rekod Malaysia Book of Records dengan jualan 714,274 biji Tau Sar Piah dalam tempoh sebulan, satu pencapaian membanggakan bagi produk tradisional tempatan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Pada masa sama katanya, bagi meyakinkan pelanggan, pihak syarikat turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan Melayu tempatan bagi meningkatkan ekonomi keluarga.
Kini, selain terus mendapat sambutan di pasaran Malaysia, produk Huat Huat Kouping turut menembusi pasaran antarabangsa seperti Indonesia, Singapura dan Australia.

Ia membuktikan bahawa gabungan tradisi, inovasi dan pensijilan halal mampu membawa jenama tempatan ke peringkat global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






