Polis tahan empat suspek curi tabung Masjid Kristal
SHAH ALAM – Polis berjaya menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian tabung Masjid Kristal Seksyen 7, di sini, menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4 dan D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25.
Menurut beliau, operasi dijalankan pada 22 dan 24 Februari lalu antara pukul 12.30 tengah malam hingga 3 pagi membabitkan serbuan di Seksyen 13, Shah Alam; hadapan Sky Suite KLCC; Arte Subang West dan Pangsapuri Tanjung, Seri Kembangan.
“Dalam operasi itu, polis menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 26 tahun. Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala salah seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Avanza, empat unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM200.
Shazeli berkata, pihaknya menasihati semua pengurusan masjid dan surau supaya memastikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa berfungsi dengan baik serta mengosongkan tabung kutipan secara berkala sebagai langkah pencegahan.
“Orang ramai juga diminta segera menyalurkan maklumat mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan rumah ibadat bagi memastikan keselamatan serta kesuciannya terus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesan sekumpulan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian curi tabung masjid berkenaan pada 22 Februari lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








