BERITA SEMASALUAR NEGARA

MAPIM bimbang krisis Indonesia jejas ekonomi, kestabilan serantau

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyatakan kebimbangan bahawa krisis yang sedang melanda Indonesia berpotensi memberi kesan besar terhadap kestabilan politik, keharmonian sosial serta ekonomi di rantau ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi meruncing itu bukan sahaja mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat Indonesia, malah mampu menjejaskan keseluruhan rantau ASEAN jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Pengerusi MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi berharap pemerintah Indonesia dapat menyelesaikan krisis tersebut dengan sebaiknya. 

“Indonesia merupakan negara umat Islam terbesar dengan kepelbagaian etnik, agama dan budaya.

“Kami yakin cabaran ini boleh ditangani sekiranya kepimpinan pemerintah dan masyarakat madani tampil dengan jiwa besar untuk mencari penyelesaian.

“Keutamaan mesti diberikan kepada rakyat agar kebajikan mereka tidak terpinggir dalam apa jua tindakan politik atau keputusan pemerintah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan organisasi masyarakat (ormas) untuk berperanan sebagai jambatan perundingan dan bukannya hanya pemerhati.

“Penyelesaian sebenar perlu dicapai melalui dialog dan musyawarah nasional bagi mengelakkan ketegangan serta perpecahan sosial,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohd Azmi menyeru agar negara-negara ASEAN menunjukkan solidariti kerana kestabilan Indonesia akan menjamin keamanan serantau.

“MAPIM menggesa pemerintah Indonesia membuka ruang seluasnya untuk proses perdamaian yang adil dan inklusif, manakala pihak ormas pula perlu mengutamakan maslahat umat dan negara,” katanya.

Gambar Affan Kurniawan (dalam bulatan) yang dilanggar kenderaan taktikal polis Brimob dalam kejadian pada 28 Ogos lalu.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan siri tunjuk perasaan merebak ke seluruh Indonesia susulan insiden kematian seorang penunggang teksi motosikal yang dilanggar kenderaan polis pada Khamis lalu.

Gambar yang tular di media sosial memperlihatkan pertembungan penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa di beberapa bandar utama termasuk Bandung, Surabaya, Makasar dan Medan dengan polis melepaskan gas pemedih mata serta meriam air bagi menyuraikan orang ramai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button