Serangan konvoi GSF jenayah perang, hina prinsip hak kemanusiaan
KUALA LUMPUR – Serangan dron terhadap Global Sumud Flotilla (GSF), konvoi kapal awam yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza adalah jenayah perang dan penghinaan terhadap prinsip hak asasi manusia.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa malah mengancam nyawa orang awam yang tidak bersenjata.
“Serangan ini jelas merupakan jenayah perang dan penghinaan terhadap prinsip hak asasi manusia serta Konvensyen Geneva.
“Ia perlu disiasat segera dan dicegah daripada berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, serangan terhadap bot awam membuktikan keperluan mendesak campur tangan antarabangsa bagi memastikan keselamatan konvoi kemanusiaan di masa depan.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan hak asasi manusia serta kerajaan di seluruh dunia mengambil langkah segera menjamin perlindungan terhadap semua konvoi bantuan ke Gaza.

Terdahulu, media melaporkan rombongan aktivis Mapim mendakwa sudah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab di sebalik serangan dron terhadap kapal GSF di perairan Tunisia, malam tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.55 malam (waktu tempatan), kapal utama konvoi yang dikenali sebagai Madeira Family terkena serangan objek berapi hingga menyebabkan kerosakan.
Pelayaran puluhan buah kapal dalam misi kemanusiaan GSF itu disertai lebih 1,000 aktivis dari 44 buah negara termasuk Malaysia.
Kumpulan kapal flotila itu berlepas dari pelabuhan di Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








