BISNES & EKONOMI

Meril lancar akademi pendidikan klinikal pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR – Syarikat teknologi perubatan (MedTech) global berpangkalan di India, Meril, hari ini melancarkan akademi pendidikan klinikal pertamanya di Malaysia bagi memperkukuh pembangunan profesional kesihatan serta memperluas akses kepada latihan perubatan bertaraf dunia di rantau ASEAN.

Penubuhan Akademi Meril Kuala Lumpur itu merupakan antara agenda syarikat berkenaan dalam mengukuhkan rangkaian pendidikan global syarikat itu yang semakin berkembang, selaras dengan komitmen syarikat untuk menggabungkan inovasi dan pendidikan dalam memajukan penjagaan kesihatan serta meningkatkan hasil rawatan pesakit.

Direka sebagai platform global untuk pendidikan klinikal, Akademi Meril Kuala Lumpur menghimpunkan profesional kesihatan menerusi program pendidikan yang dikendalikan pakar, latihan berasaskan simulasi, bengkel praktikal, laluan pembelajaran tersusun serta kerjasama klinikal.

Akademi itu turut menggabungkan pengetahuan saintifik, kepakaran klinikal dan teknologi inovatif bagi memperkukuh keupayaan klinikal, menggalakkan pertukaran ilmu serta menyokong penerapan teknologi perubatan baharu secara lebih berkesan.

Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi akademi pertama Meril di negara ini berikutan kedudukan strategiknya, ekosistem penjagaan kesihatan yang kukuh serta peranannya sebagai hab serantau bagi inovasi dan pendidikan perubatan, sekali gus membolehkan syarikat menyokong profesional kesihatan di Malaysia dan seluruh ASEAN.

Presiden Hal Ehwal Kerajaan Global Meril, Dr Vibhav Garg berkata, inovasi dan pendidikan perlu bergerak seiring bagi memastikan teknologi perubatan moden dapat dimanfaatkan secara optimum oleh profesional kesihatan.

“Di Meril, kami percaya inovasi dan pendidikan berjalan seiring. Inovasi mendorong pembangunan teknologi perubatan canggih, manakala pendidikan memperkasakan profesional kesihatan untuk menggunakannya dengan yakin dan tepat.

“Akademi Meril Kuala Lumpur mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan platform pembelajaran bertaraf dunia yang memupuk pendidikan berterusan, kerjasama klinikal dan pembangunan kemahiran,” katanya dalam satyu kenyataan, hari ini.

Dalam tahun kewangan 2025 hingga 2026, Meril Academies menganjurkan lebih 150 program pendidikan dan bengkel yang disertai lebih 6,000 profesional kesihatan di seluruh dunia.

Dengan pembukaan akademi di Kuala Lumpur, Meril kini mempunyai rangkaian 11 akademi, termasuk empat di India dan tujuh lagi di Jerman, Sepanyol, Brazil, Türkiye, Rusia, Amerika Syarikat serta Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button